TM ambil langkah proaktif percepat pembangunan lestari  | DagangNews Skip to main content

TM ambil langkah proaktif percepat pembangunan lestari 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan penerbitan sulung Laporan Pasukan Petugas Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) dan langkah penting ini menjelaskan komitmen kumpulan terhadap kelestarian, ketelusan dan amalan-amalan perniagaan bertanggungjawab dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri.

 

TM berkata, laporan TCFD ini memberi ketelusan tentang implikasi kewangan yang timbul daripada risiko-risiko dan peluang-peluang berkaitan iklim oleh sesebuah organisasi. 

 

Menerusi laporan 2022 itu katanya, TM mengambil pendekatan proaktif dalam memahami, menilai, dan menguruskan risiko dan peluang berkaitan perubahan iklim, yang membolehkan TM memperkukuh amalan pengurusan risikonya, memacu inovasi dan memastikan kelestarian jangka panjang operasi perniagaannya.

 

"Laporan TCFD 2022 TM ini diterbitkan 2 tahun lebih awal daripada sasaran Disember 2025 yang ditetapkan Bursa Malaysia ke atas syarikat-syarikat senaraian awam untuk menyelaraskan pelaporan mereka dengan TCFD. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, sejumlah 9 daripada 11 saranan TCFD telah diselaraskan oleh TM. 

 

"Bursa Malaysia telah mengeluarkan kriteria-kriteria ini pada tahun 2022 sebagai antara keperluan pelaporan kelestarian yang diperkemas," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar berkata, langkah untuk melaksanakan pelaporan TCFD menggambarkan dedikasi pihaknya dalam mengamalkan standard amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus tertinggi.

 

"Kami percaya dengan mengamalkan ketelusan dan bertanggungjawab terhadap risiko-risiko serta peluang-peluang berkaitan iklim, kami boleh memberi nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, memperkukuh daya tahan dan meletakkan kami sebagai peneraju industri dalam amalan-amalan perniagaan yang mampan," katanya.

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Razidan Ghazalli berkata, dalam menjadi sebuah TechCo berteraskan insan, pihaknya sedar tentang peranan dalam membantu peralihan Malaysia ke arah masa depan yang rendah karbon. 

 

Katanya, menerusi langkah TCFD ini, pihaknya ingin mempertingkatkan inisiatif sedia ada dan memberi penelitian yang memfokus kepada masa hadapan berkenaan bagaimana perubahan iklim akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.

 

"Pemahaman tentang perkara ini menjadi asas penting yang akan membolehkan kami terus menambah baik tindak balas kami terhadap perubahan iklim merentas setiap aspek rantaian nilai kami," katanya.

 

Dirangka pada 2022, Pelan Hala Tuju ESG TM menetapkan visi, komitmen dan pelan pelaksanaan yang jelas merentas tiga teras iaitu alam sekitar, sosial, dan tadbir urus.

 

Sebagai sebahagian usahanya menangani perubahan iklim, TM melancarkan beberapa inisiatif berimpak bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

 

Pada 2022 sahaja, TM telah mencatat beberapa kejayaan penting termasuklah, pusat-pusat data yang dikuasakan tenaga diperbaharui, pemodenan rangkaian untuk kecekapan dan naik taraf pendingin hawa cekap tenaga.

 

Dengan penggunaan tenaga diperbaharui, mengoptimumkan infrastruktur rangkaian, dan melabur dalam teknologi-teknologi cekap tenaga, TM sedang berusaha secara proaktif ke arah masa depan yang lebih hijau. - DagangNews.com