TM lantik Krish Datta sebagai Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Digital | DagangNews Skip to main content

TM lantik Krish Datta sebagai Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Digital

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pelantikan Krish Datta sebagai Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Digital. 

 

Krish membawa kepakaran mendalam dalam membina perniagaan teknologi dari peringkat awal hingga kepimpinan serantau di samping set pengalaman dan kemahiran yang luas dan pelbagai kepada peranan yang baru dicipta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, beliau gembira Krish menyertai TM. 

 

"Beliau adalah eksekutif teknologi terbukti yang telah memainkan peranan penting dalam membina dan menerajui syarikat teknologi.

 

“Dalam peranan baharu ini, Krish akan memperdalam komitmen dan keupayaan kami untuk membolehkan transformasi digital pelanggan perusahaan dan sektor awam kami sambil kami membantu mereka menambah baik dan mempercepatkan setiap bidang perniagaan mereka dengan mudah dan yakin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Imri berkata, walaupun tumpuan TM kekal pada perniagaan teras, ia telah mencatatkan langkah besar dan berani untuk masa depan sambil TM meneruskan laluan pertumbuhannya.

 

“Penyertaan kami ke dalam perkhidmatan digital perusahaan akan membuka peluang baharu untuk TM mengembangkan pangkalan pelanggan kami,” katanya.

 

Dalam pada itu, Krish pula berkata, beliau teruja untuk menyertai TM, atas lebih daripada satu sebab.

 

 

TM
Krish Datta

 

 

"Saya suka membina perniagaan teknologi yang mampan, dan peluang untuk membina pasukan berfokuskan teknologi ini menawarkan saya keupayaan untuk mencipta, dari dalam, satu lagi jenama TM yang boleh dipercayai, identiti baharu untuk teknologi perusahaan," katanya.

 

Dengan lebih 34 tahun pengalaman industri teknologi, Krish telah membina dan menerajui beberapa perniagaan berasaskan teknologi perusahaan di seluruh Asean, India, Jepun, Australia dan Timur Tengah.

 

Beliau adalah seorang pemimpin perniagaan dan orang ramai yang bersemangat yang telah menunjukkan rekod prestasi yang berjaya di Asia dengan syarikat multinasional dan syarikat permulaan global yang mantap.

 

Krish berada di SAP Asia Pasifik selama lebih 16 tahun memegang pelbagai jawatan kepimpinan. - DagangNews.com