TM untung bersih RM1.02 bilion, meningkat 60% | DagangNews Skip to main content

TM untung bersih RM1.02 bilion, meningkat 60%

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 24 Feb. - Telekom Malaysia Bhd (TM) merekodkan pertumbuhan hasil yang lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berjumlah RM10.84 bilion, susut 5.2% berbanding RM11.43 bilion bagi tahun sebelumnya berikutan cabaran pasaran dan pandemik COVID-19.

 

Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) dilaporkan kumpulan naik 2.3% kepada RM1.60 bilion, daripada RM1.57 bilion pada 2019 susulan kos operasi yang lebih rendah dan momentum berterusan daripada program-program pengoptimuman kos dan produktiviti kumpulan.

 

Ini seterusnya membawa kepada pertumbuhan kukuh bagi Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATAMI) sebanyak 60.6% pada RM1.02 bilion berbanding 2019, pada RM632.7 juta.

 

Bagi suku keempat 2020, TM merekodkan untung bersih berjumlah RM259.44 juta berbanding kerugian bersih RM51.09 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Untuk tempoh itu juga, hasil TM susut kepada RM3.0001 bilion berbanding tempoh sama 2019, RM3.034 bilion. 

 

Menurut kenyataan hari ini, pada 2020, syarikat melabur 13.7% daripada hasil dalam perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM1.49 bilion ketika TM terus mengoptimumkan dan memodenkan rangkaiannya serta mengerah aset-asetnya. 

 

Daripada jumlah yang dibelanjakan itu, 53% adalah untuk akses rangkaian, 22% untuk rangkaian teras, dan baki 25% adalah untuk sistem-sistem sokongan. 

 

Ini telah memastikan rangkaian TM mampu untuk menguruskan secara efektif trafik rangkaian yang menyaksikan peningkatan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

"Ketidaktentuan ini memerlukan kami mengubah cara kami bekerja, menjadi lebih efisien dalam proses pelaksanaan serta menjadi lebih berhemah dalam menguruskan sumber-sumber kami," jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar. - DagangNews.com