TNB dan LADA bekerjasama kurangkan pelepasan karbon di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi     | DagangNews Skip to main content

TNB dan LADA bekerjasama kurangkan pelepasan karbon di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi    

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (empat, kanan) bergambar bersama pegawai TNB dan LADA selepas menyaksikan penyerahan replika surat niat oleh LADA kepada TNB di Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi pada 17 Oktober 2021.


 

KUALA LUMPUR 18 Okt – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat rumusan tenaga hijaunya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) akan menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), bagi mengurangkan pelepasan karbon mereka menerusi pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

 

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, bergantung kepada perjanjian, potensi penjimatan bil elektrik LPSB selepas pemasangan adalah antara RM87,000 hingga RM244,000 bagi tahun pertama dan sehingga RM5 juta - RM7.4 juta bagi tempoh 25 tahun.

 

Katanya, TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu LADA mencapai objektif mereka bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menjana tenaga hijau.

 

“Bagi mencapai aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul bagi rumusan tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa, TNB telah dan akan terus membangunkan keupayaan yang terbukti dalam bidang panel solar PV,” katanya.

 

“Langkah LADA dan LPSB untuk menjana tenaga hijau bukan sahaja menyokong usaha Kerajaan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, malah turut  mampu menjimatkan bil elektrik mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

GSPARX dijangka memasang sistem solar PV berkapasiti 363kWp di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung.

 

Menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), LADA telah menyatakan hasrat tersebut melalui penyerahan dokumen Surat Hasrat dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung pada 17 Oktober lalu.

 

Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB), anak syarikat LADA, adalah pengendali Kompleks Dermaga Tanjung Lembung.

 

Penyerahan surat dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif LADA merangkap Pengerusi LPSB, Nasaruddin Abdul Muttalib kepada Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri. Majlis disaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

 

Jelas Megat, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik negara turut menyokong usaha Kerajaan itu dengan meletakkan aspirasi untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 yang dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35%, serta pengurangan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

 

“Hala tuju kelestarian TNB mendukung pelan Kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE) dalam gabungan kapasiti penjanaan negara ke arah mencapai sasaran kapasiti terpasang RE sebanyak 31% pada 2025,” tambah Megat.

 

Menerusi kerjasama strategik dengan KeTSA, TNB telah menyiapkan projek solar di dua lokasi manakala pemasangan di tujuh lagi lokasi melibatkan bangunan jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sekolah sedang disiapkan menjadikan jumlah kapasiti penjanaan tenaga hijau hampir 2.2 MWp.

 

Antara entiti yang telah dan bakal menjadi pengeluar swaguna (prosumer) menerusi kerjasama itu termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (100kWp) di Pulau Pinang; Majlis Bandaraya Subang Jaya (100kWp), Selangor; Agensi Nuklear Malaysia (460kWp), Selangor, dan Kolej Tunku Kurshiah (314kWp), Negeri Sembilan. 

  

Sehingga kini, di bawah skim panel solar PV, Pemeteraian Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri (SELCO) yang dilaksanakan Kerajaan, GSPARX telah memeterai perjanjian menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dan pembelian terus dengan 840 pelanggan komersial dan domestik (kediaman) untuk menjana kira-kira 103 MWp kapasiti tenaga hijau. – DagangNews.com