TNB, Gamuda Land bina Stesen Electron sedia kemudahan pengecasan EV  | DagangNews Skip to main content

TNB, Gamuda Land bina Stesen Electron sedia kemudahan pengecasan EV 

Lakaran grafik menunjukkan Stesen Electron yang akan menyediakan menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti stesen minyak konvensional di bawah satu bumbung.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Okt - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memeterai kerjasama strategik dengan Gamuda Land untuk membina dua Stesen Electron bagi kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang dijangka beroperasi menjelang 2025.

 

Ini menyaksikan kedua-dua syarikat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan Stesen Elektron Pertama Malaysia di Gamuda Cove di Lembah Klang Selatan dan Gamuda Gardens di Lembah Klang Utara untuk komuniti dalam projek dan pengunjung taman tema air di Gamuda Cove.

 

Ketua Pegawai Strategi dan Teroka TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kerjasama itu akan membuka jalan kepada TNB dan Gamuda Land untuk bekerjasama ke arah meningkatkan penggunaan EV di Malaysia dan mencapai aspirasi bersih sifar pelepasan menjelang 2050.

 

Katanya, pada masa sama, stesen itu membolehkan kedua-dua pihak meningkatkan usaha mencapai sasaran bagi memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di samping meneruskan pertumbuhan perniagaan.

 

"Menyokong penggunaan EV adalah sebahagian daripada tonggak peralihan tenaga TNB. Ia sememangnya langkah yang tepat dalam merealisasikan aspirasi untuk menyediakan pelan induk yang mampan, menampilkan reka bentuk responsif iklim, pengangkutan bersepadu dan pembinaan tenaga super rendah dengan ciri pintar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

TNB
Ketua Pegawai Strategi dan Teroka TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune (dua kiri) melihat replika Stesen Electron selepas menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak hari ini.

 

 

Pembinaan stesen tersebut akan mempercepatkan pembangunan ekosistem dan infrastruktur untuk EV di negara ini, sekali gus menyokong visi kemampanan kedua-dua syarikat.

 

Malah, stesen elektron itu juga akan dikuasakan dengan panel solar atas bumbung yang akan membantu mengimbangi elektrik daripada grid dan menyokong persekitaran yang lebih hijau.

 

Stesen pengecas elektrik itu akan serasi dengan semua kenderaan terdiri daripada hibrid, hibrid plug-in dan EV sepenuhnya serta termasuk pengecas pantas AC dan DC.

 

Sama seperti stesen minyak konvensional, Stesen Elektron akan menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti kedai makanan dan minuman, kedai serbaneka dan banyak lagi untuk memberi perkhidmatan kepada pemandu yang sedang menunggu kenderaan mereka dicaj.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, stesen tersebut akan melengkapkan usaha pengurangan karbon seperti mempunyai laluan khusus dengan tanaman pokok untuk berbasikal dan berjalan kaki dan mempunyai e-trem di perbandaran sebagai cara pengangkutan alternatif untuk komuniti.

 

"Di bawah MoU ini juga, kedua-dua syarikat akan mengusahakan penerokaan inisiatif tenaga mampan lain di bawah tawaran TNB di perbandaran Gamuda Land," katanya. -DagangNews.com