Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeriahkan Tahun Baru Cina 2021 dengan mengimbau semula cerita rakyat mengenai raksasa mitos Nian, yang menggangu orang ramai pada setiap malam Tahun Baru Cina, dengan sentuhan jenaka.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Koporat TNB baharu, Mohamad Ariff Zainol berkata, menerusi filem ‘Nian-tastic New Start’, TNB berharap dapat mencetuskan tenaga positif bagi tahun baru ini berikutan pelbagai cabaran dihadapi akibat pandemik COVID-19.
"Ramai yang mahukan permulaan baharu pada tahun 2021 dan menerusi filem ini, kami ingin memberi inspirasi kepada orang ramai untuk meraikan tahun baru ini dengan semangat kegembiraan dan perpaduan. Dengan tenaga yang positif, kita boleh bersama-sama mengharungi sebarang cabaran.
"Filem pendek yang sarat dengan nasihat dan cerita rakyat itu mengetengahkan semangat kegembiraan dan perpaduan yang menjadi asas kepada tradisi Tahun Baru Cina, menerusi kisah lagenda Nian dengan pendekatan berbeza," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Filem yang mendapat sentuhan pengarah berkaliber Quek Shio Chuan itu, sekumpulan penduduk kampung yang ketakutan pergi mengembara bagi mendapatkan pertolongan seorang mahaguru yang bijaksana, dengan anggapan bahawa dia mengetahui rahsia cara mengalahkan Nian untuk mengembalikan keharmonian dan kesejahteraan kampung mereka.
Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mengetahui mereka sudahpun mempunyai kuasa untuk mengalahkan raksasa itu selama ini, iaitu dengan bersatu sebagai satu komuniti serta mempamerkan semangat kegembiraan dan sikap positif untuk menghadapi raksasa itu.
Mahaguru yang bijaksana itu mengajar mereka kunci untuk mengalahkan raksasa itu adalah menakutkannya dengan warna merah, bunyi yang kuat serta cahaya yang terang.
Ini dikatakan menjadi permulaan kepada banyak tradisi seperti berpakaian merah, berkumpul dengan keluarga, menghasilkan bunyi yang kuat dengan bermain gendang dan menyalakan mercun, dan menghiasi kediaman dengan tanglung berwarna merah yang terang untuk menakutkan Nian.
Padat dengan aksi luar biasa dan gelagat yang mencuit hati, filem yang menggabungkan pendekatan moden dengan gaya drama zaman lalu telah dihasilkan sebelum PKP 2.0, dengan pematuhan SOP yang ketat.
Ia juga menampilkan kameo pemegang rekod Guinnes World Records tajaan TNB, Soh Wai Ching yang telah memecah rekod dunia untuk Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam (Lelaki) pada November tahun lalu.
Filem ‘Nian-tastic New Start’ dijadualkan untuk ditayangkan hari ini di Youtube (www.youtube.com/TENAGAofficial) dan akan disiarkan di saluran TV bermula 10 Februari 2021.
Filem tersebut bakal disusuli dengan iklan cetak yang unik di semua akhbar utama Bahasa Inggeris dan Cina.
Penonton boleh mengetahui lebih lanjut mengenai watak-watak dalam filem tersebut menerusi platform media sosial TNB (Facebook dan Instagram), selain filter khas di Instagram menerusi carian ‘Niantastic’, ‘CNY 2021’ dan ‘TNB CNY’. - DagangNews.com