TNB terima pengiktirafan keselamatan tertinggi pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting JPM | DagangNews Skip to main content

TNB terima pengiktirafan keselamatan tertinggi pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting JPM

Ketua Operator Sistem Grid (GSO) TNB, Ir. Shanmugam Thoppalan mewakili pihak Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional (NLDC), TNB menerima Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Jan - Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional (NLDC) Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima penganugerahan 5-Bintang atas kecekapan operasi pembekalan elektrik serta penjagaan aset kritikal negara.

 

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi dalam Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023, anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum di Bangsar, di sini.

 

Pengiktirafan anugerah tertinggi 5-Bintang kepada NLDC ini memperlihatkan kepakaran TNB dalam memastikan operasi pembekalan elektrik yang cekap di samping kawalan keselamatan yang tinggi dan cemerlang bagi memastikan aset kritikal negara kekal selamat.

 

Turut menerima penganugerahan ialah Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Bersia, Perak dan substesen utama TNB di Bukit Tambun, Pulau Pinang, dan Chuping, Perlis masing-masing turut diiktiraf 5 dan 4 bintang.

 

Sebanyak 28 syarikat tersenarai menerima pengiktirafan dalam lima kategori semasa APBSP 2023 atas pengurusan kawalan keselamatan dan perlindungan yang tinggi dan cekap bagi instalasi-instalasi kritikal negara.

 

Penilaian anugerah adalah berdasarkan lima bidang penting iaitu komitmen pengurusan, keselamatan fizikal, keselamatan dokumen, keselamatan personel dan keselamatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din melahirkan rasa bangga dengan penganugerahan tersebut yang menterjemahkan komitmen berterusan TNB dalam menjaga aset kritikal negara dan usaha gigih melaksanakan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.

 

"Selari dengan aspirasi TNB dalam menyokong agenda kelestarian dan mencapai Sifar Bersih menjelang 2050, penekanan digitalisasi dan automasi secara signifikan meingkatkan kualiti perkhidmatan keselamatan. 

 

tnb
Simposium 'Cabaran Risiko Keselamatan Ke Arah Peralihan Tenaga' yang diadakan di Pusat
Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum menyaksikan penyertaan ramai agensi keselamatan
negara bagi membincangkan sasaran dan cabaran penting dalam menuju peralihan tenaga
yang bertanggungjawab

 

"Kami sentiasa memantau keselamatan aset utama di seluruh negara dengan memberi keutamaan kepada keupayaan pencegahan, pengurusan insiden dan menangani risiko keselamatan yang semakin berkembang," katanya.

 

Dalam kenyataan media itu, Baharin turut menekankan peranan penting Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB, TNB Global Business Solutions (TGBS) yang berdepan pelbagai ancaman dan cabaran dalam menguruskan keselamatan aset bernilai RM205.92 bilion di seluruh negara.

 

"Kerjasama dengan agensi keselamatan negara sentiasa menjadi komitmen kami. TNB akan setia memberikan sokongan padu untuk pembangunan dan pengukuhan keselamatan negara di tengah arus perubahan dinamik serta skop kerja yang semakin berkembang," jelasnya.

 

Menjelaskan peranan penting NLDC, beliau menekankan kepentingannya sebagai nadi dalam memastikan keseimbangan di antara pembekalan dan permintaan tenaga. 

 

"Memastikan pemantauan, penjadualan, dan penghantaran tenaga dari pelbagai stesen penjanaan adalah tanggungjawab utama NLDC. Justeru, adalah penting untuk mengekalkan pengurusan keselamatan dan perlindungan sentiasa di tahap yang tinggi bagi mencapai objektif kami," tambah Bahardin.- DagangNews.com