TNB, YTL Power dijangka jadi peneraju konsortium bida projek solar berskala besar 2GW - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

TNB, YTL Power dijangka jadi peneraju konsortium bida projek solar berskala besar 2GW - MIDF Research

LSS di Bukit Selambau, Kedah milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) mula beroperasi pada 8 September 2020./Gambar hiasan TNB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 April - Pemain utama dalam sektor utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan YTL Power berkemungkinan tampil sebagai peneraju dalam konsortium yang dibentuk mereka bagi membida projek solar berskala besar 2 gigawatt (GW) atau LSS5.

 

Menurut MIDF Research, ini terutama untuk bidaan kapasiti yang lebih besar yang merupakan salah satu perubahan utama dalam LSS terbaharu ini.

 

"Had bidaan kapasiti ditingkatkan kepada 500megawatt (MW) (untuk Pakej 3 dan 4) iaitu lima kali ganda had sebelumnya untuk LSS3 (100MW) dan 10 kali ganda untuk LSS4 (50MW).

 

"Kami menganggap projek sebesar itu mungkin memerlukan perbelajaan besar antara RM1.5 bilion hingga RM2.3 bilion yang memerlukan kapasiti kunci kira-kira yang agak menuntut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

Menurut MIDF Research, bagaimanapun diakui terdapat pemenang tender LSS terdahulu termasuk syarikat bukan utiliti iaitu daripada sektor hartanah, perladangan dan pembinaan. 

 

"Pemilik tanah boleh masuk sebagai rakan kongsi strategik memandangkan keperluan besar untuk bank tanah contohnya, ladang solar 500MW dianggarkan memerlukan sekurang-kurangnya 1,500-2,000 ekar bank tanah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Program solar berskala besar kembali dengan kuota 2GW, bidaan dibuka pada 1 April 2024

 

"Tidak pasti pada ketika ini jika pengawal selia (Suruhanjaya Tenaga) akan membenarkan pelbagai lokasi untuk setiap bidaan LSS," jelasnya.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, salah satu masalah utama dalam program LSS sebelum ini ialah persaingan keterlaluan untuk membekalkan tenaga kepada pembeli tunggal yang telah menurunkan pulangan ke tahap satu digit. 

 

"Model CGPP (Program Kuasa Hijau Korporat) pada pendapat kami adalah model yang lebih liberal yang membolehkan pemain mencari pembeli mereka sendiri, sekali gus membolehkan penetapan harga yang lebih baik di pasaran. 

 

"Kami juga mengambil perhatian tentang hakikat bahawa CGPP pada asasnya adalah pengaturan eksklusif antara pengeluar tenaga suria dan peminjam mereka yang memerlukan peruntukan adil bagi kos naik taraf grid.

 

"Sebaik sahaja peruntukan kos yang saksama dan akses pihak ketiga kepada grid (TPA) diwujudkan, kami percaya model yang lebih liberal untuk RE berskala besar boleh dijangkakan," ujarnya. - DagangNews.com