Top Glove didakwa gagal patuhi syarat penginapan pekerja | DagangNews Skip to main content

Top Glove didakwa gagal patuhi syarat penginapan pekerja

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak dengan 10 pertuduhan gagal memberikan tempat tinggal pekerja yang diperakui oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK), November lalu.

 

Top Glove yang diwakili oleh pengarahnya mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan berkenaan di hadapan Hakim Norashima Khalid, menurut laporan Bernama.

 

Syarikat itu dituduh tidak menyediakan penginapan pekerja yang diperakui oleh sijil penginapan dari Ketua Pengarah JTK, termaktub di bawah Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 10 tempat penginapan berbeza yang terletak di Pusat Perdagangan Tasek Mutiara, Ipoh antara jam 9 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 26 November tahun lalu.

 

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 24D (3) akta yang sama, di mana memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 jika didapati bersalah.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim dan Zaihas Mohd Syakir Hasfar mendakwa kes itu, sementara Top Glove diwakili peguam Chew Jee San.

 

Mahkamah menetapkan 28 April untuk sebutan semula kes. - DagangNews.com