TUDM hantar pegawai ke Itali selia program pembinaan dua pesawat rondaan maritim ATR-72 | DagangNews Skip to main content

TUDM hantar pegawai ke Itali selia program pembinaan dua pesawat rondaan maritim ATR-72

TUDM akan menerima dua pesawat ATR-72 MPA tiga tahun lagi.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 8 Nov - Sepasukan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dihantar ke Itali bagi menyelia proses pembinaan pesawat rondaan maritim (MPA) di kilang syarikat Leonardo.

 

Ini adalah prosedur biasa dalam perolehan mana-mana aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya melibatkan pembelian baharu.

 

Begitu juga dalam program pesawat tempur ringan FA-50 Block 20 apabila pegawai TUDM akan dihantar ke Korea Selatan.

 

TUDM bakal menerima dua pesawat MPA ini pada tahun 2026 bagi mempertingkatkan lagi rondaan ruang udara dan maritim negara.

 

Pesawat

 

Pesawat kedua pula akan diterima setahun kemudian.

 

Malaysia merancang untuk memperoleh enam buah pesawat MPA kesemuanya bagi menggantikan pesawat Beechcraft Super King Air B200T yang telah berkhidmat sejak 1994.

 

Difahamkan, Tim Projek MPA TUDM ini melibatkan enam orang pegawai meliputi pelbagai bidang kemahiran masing-masing termasuk juruterbang.

 

Antara tugas tim projek ini adalah menyelia proses pembinaan pesawat serta perkara-perkara sepertimana yang terkandung di dalam kontrak perolehan.

 

Pesawat

 

Pesawat
Kru mengendalikan sistem pengawasan dalam pesawat ATR-72.

 

Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menandatangani kontrak bersama firma Leonardo bagi membekalkan dua pesawat MPA jenis ATR 72 MPA kepada TUDM.

 

Ia dimeterai pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi pada Mei lalu.

 

MINDEF pada tahun lalu mengumumkan pesawat buatan Leonardo ini sebagai calon pilihan MPA TUDM sebagaimana yang telah dirancang.

 

Firma Leonardo pula sejak beberapa tahun lalu giat mempromosikan pesawat ini kepada ATM yang pada masa sama sedang mengintai beberapa calon-calon pesawat termasuk dari Airbus.

 

Pesawat
Kru TUDM bersama pesawat CN235-220 MPA.

 

ATR 72 MPA ialah pesawat dengan enjin turboprop berkembar yang direka untuk misi rondaan maritim yang kompleks. 

 

Sebagai pesawat MPA, ia juga mempunyai konfigurasi untuk melakukan misi seperti peperangan antikapal selam, peperangan permukaan dan operasi pencarian.

 

Sementara menunggu kehadiran dua buah pesawat ATR72 MPA, TUDM juga telah mengubahsuai tiga pesawat CN235-220 kepada varian MPA yang dibiayai Amerika Syarikat.- DagangNews.com