Tuntutan rasmi pembayaran 40 peratus hasil dikemuka Kerajaan Sabah pada Jun 2022 - Masidi | DagangNews Skip to main content

Tuntutan rasmi pembayaran 40 peratus hasil dikemuka Kerajaan Sabah pada Jun 2022 - Masidi

KOTA KINABALU 24 Jan - Kerajaan Negeri Sabah menjelaskan telah menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022 berhubung tuntutan 40 peratus daripada hasil yang dikutip di negeri ini.

 

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, surat itu dihantar pada 10 Jun 2022 dan disahkan sudah diterima oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Katanya, jika tidak, Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat pembayaran interim kepada Sabah berhubung tuntutan itu sementara menunggu penyelesaian muktamad selesai.

 

"Perkara itu telah menjadi asas kepada pembayaran interim kerana kita masih dalam perbincangan mengenai jumlah muktamad," katanya kepada wartawan malam tadi di sini.

 

Memetik laporan Borneo Post, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Negeri untuk menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan bagi menuntut pembayaran 40 peratus daripada hasil yang dikutip di negeri ini.

 

Ewon menegaskan Kerajaan Negeri perlu membuat tuntutan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut yang mana Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu percaya ia belum dilakukan.

 

masidi
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun

 

Mengulas lanjut, Masidi berkata, surat tuntutan rasmi pada 2022 juga telah menyebabkan jawatankuasa teknikal ditubuh bagi mendapatkan maklumat diperlukan supaya Kerajaan Negeri mempunyai asas berhubung nilai tuntutan.

 

Beliau berkata, data tersebut diperlukan daripada pelbagai jabatan Persekutuan yang mengutip hasil di Sabah tetapi diakui berjalan dengan perlahan.

 

"Saya fikir apa yang Datuk Ewon bangkitkan mungkin mengenai amaun tuntutan secara spesifik (yang perlu dituntut) tetapi perkara ini hanya dapat diperoleh daripada agensi berkaitan dan ini sedikit menghampakan kerana usaha rundingan tidak memperolehi semua data yang diperlukan," ujarnya.

 

Ditanya sama ada Ewon mencadangkan anggaran jumlah tuntutan, Masidi berkata, sekarang ini bukan mengenai berapa banyak kerana formulanya adalah tetap 40 peratus daripada hasil yang dikutip di Sabah.

 

"Isunya bilakah bayaran akan dibuat. Kami jangka pelaksanaan pembayaran adalah pada Julai ini sebab saya tak fikir ia perlu ditunda, kita kena selesaikan," katanya.

 

Apabila ditanya bentuk tindakan yang akan diambil Kerajaan Negari jika tuntutan ini tidak diselesaikan menjelang Julai, Masidi berkata: 

 

"Terdapat beberapa pilihan untuk kita bila masanya tiba nanti." - DagangNews.com