UEM Sunrise sasar jualan hartanah FY24 lebih rendah 52%, Maybank IB kurangkan unjuran pendapatan FY24-25 sehingga 35% | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise sasar jualan hartanah FY24 lebih rendah 52%, Maybank IB kurangkan unjuran pendapatan FY24-25 sehingga 35%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - UEM Sunrise Bhd menyasarkan jualan hartanah tahun kewangan 2024 (FY24) lebih rendah 52% tahun ke tahun (YoY) pada RM1 bilion disokong pelancaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta memandangkan jualan dijangka kembali normal berikutan ketiadaan jualan hartanah di Australia.

 

Prestasi jualan hartanah UEM Sunrise dalam tahun kewangan  2023 (FY23) mencecah RM2.1 bilion berbanding RM925 juta pada tahun sebelumnya, lebih tinggi daripada sasaran syarikat dan Maybank Investment Bank (Maybank IB) masing-masing sebanyak 40% dan 8%.

 

Ini dipacu oleh jualan hartanah kumpulan yang melibatkan projek bina-dan-jual di Melbourne dengan GDV RM874 juta tanah seluas 0.53 hektar kepada GS Collingwood Property Trust.

 

Oleh demikian, Maybank IB menurunkan unjuran pendapatan FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 18% dan 35%.

 

Selain sasaran jualan FY24 yang lebih rendah, unjuran berkenaan turut mengambil kira kelemahan keuntungan bersih pada FY23, serta andaian jualan tanah FY24 dan FY25 berjumlah RM350 juta dan RM300 juta.

 

“Di samping itu, UEM Sunrise sedang menyemak semula rancangan pembangunannya di Gerbang Nusajaya, yang akan menambah RM3 bilion kepada GDV berjumlah RM45 bilion. 

 

“Setakat Disember 2023, jualan kumpulan yang belum dibilkan berjumlah RM2.7 bilion (2.4 kali ganda daripada unjuran pendapatan FY24 kami),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas prestasi UEM Sunrise, firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih teras FY23 berjumlah RM75.6 juta adalah di bawah jangkaannya dengan merangkumi 89% daripada anggaran tahun penuh firma namun dalam jangkaan konsensus sebanyak 98%.

 

Maybank IB berkata, pendapatan yang lebih lemah daripada jangkaan firma terkesan oleh kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 38%. Pada Disember 2023, penggearan bersih kumpulan tidak berubah pada 0.45 kali. Dividen interim pertamanya sebanyak 0.75 sen, melonjak 50% tahun ke tahun juga melebihi jangkaan.

 

“Kami menilai UEM Sunrise pada harga kepada nilai buku FY24 0.5 kali (min +1SD). Walaupun kami kekal positif terhadap perkembangan di Iskandar Malaysia, kami percaya pemangkin positif telah diambil kira,” tambahnya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran dinaikkan kepada 72 sen sesaham daripada 68 sen sebelumnya, berdasarkan nisbah harga kepada nilai buku FY24 tidak berubah pada 0.5 kali.

 

Pada pukul 11:20 pagi ini, saham UEM Sunrise kekal pada RM1.04 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM5.26 bilion. Sahamnya antara yang aktif didagang hari ini dengan sejumlah 15 juta saham telah bertukar tangan. - DagangNews.com