UiTM Shah Alam martabat bahasa di persada global melalui penganjuran program MLO 2.0 | DagangNews Skip to main content

UiTM Shah Alam martabat bahasa di persada global melalui penganjuran program MLO 2.0

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - Dalam usaha melestarikan dan merekayasa bahasa di persada global, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi menganjurkan program 'Modern Language Olympiad (MLO) 2.0 2023' di universiti itu, baru-baru ini.

 

UiTM berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan serta mengasah kualiti kepimpinan dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar UiTM. 

 

Katanya, ia bukan sahaja melibatkan bukan sahaja pelajar UiTM, malah dibuka untuk seluruh pelajar pendidikan menengah dan pendidikan tinggi Malaysia sama ada universiti awam atau swasta serta pendidikan tinggi luar negara. 

 

"Program itu turut membuka ruang pertukaran dan perkongsian ilmu, budaya dan bahasa antara pelajar UiTM dan para pelajar dari dalam dan luar negara khususnya dalam berbahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

 

"Sebanyak empat kategori akan dipertandingkan, iaitu Ucapan Spontan, Naratif Terancang, Siar Berita, dan Drama Radio yang akan dijalankan dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. 

 

"Semua acara dijalankan secara fizikal di sekitar UiTM Shah Alam kecuali Drama Radio yang akan dijalankan secara dalam talian," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM Shah Alam, Prof Datin Dr Suzana Sulaiman, manakala majlis penutupan disempurnakan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah.  

 

Menurut kenyataan itu, program tersebut bertepatan dengan matlamat SDG UNESCO 10 yang mengetengahkan dan menyediakan platform bagi pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang untuk menunjukkan kemahiran berbahasa dan bertanding dalam pentas yang sama rata dalam mempromosikan diversiti dan inklusiviti bahasa yang dipertandingkan pada peringkat global. 

 

Selain itu juga, MLO 2.0 bersedia memenuhi matlamat SDG 17, iaitu mempromosikan kefahaman silang budaya antara bahasa dan menggalakkan hubungan rakan strategik bersama komuniti, iaitu pihak universiti, pelajar dan komuniti bahasa dalam perkembangan dan pelestarian bahasa pada peringkat global. - DagangNews.com