UMS warta 25 hektar tanah sebagai hutan simpan | DagangNews Skip to main content

UMS warta 25 hektar tanah sebagai hutan simpan

Prof Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (tiga dari kiri) ketika pelancaran buku buku Forestry Camp; Guide and Practical di SFERA@UMS.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KOTA KINABALU 22 Jun - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewartakan seluas 25 hektar tanah di dalam kampus sebagai hutan simpan bagi tujuan pembangunan pendidikan dan penyelidikan hutan.

 

Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, selain tujuan tersebut, hutan simpan yang dikenali sebagai SFERA@UMS juga akan digunakan untuk aktiviti penanaman pokok sebagai menyokong Program Penghijauan Malaysia melalui kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

 

“Selaras dengan aspirasi negara untuk mengekalkan kawasan hutan sebanyak 50%, UMS dengan bangganya mewartakan sebahagian daripada tanah berhutan di UMS kepada Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) khas bagi tujuan penyelidikan hutan secara mapan dalam bidang sains perhutanan.

 

“Langkah ini adalah bagi mencontohi negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun yang telah lama membangunkan satu kawasan khas untuk hutan universiti bagi tujuan tersebut,” katanya sempena majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat UMS, di SFERA@UMS, hari ini.

 

Tambah Taufiq, dengan pewartaan tersebut diharap dapat menjadi salah satu titik tolak dalam keterlihatan pengajian perhutanan di UMS secara global.

 

Sempena sambutan tersebut, lebih daripada 200 pokok yang terdiri daripada spesis Pulai, Selangan Batu, Seraya, Urat Mata dan pokok kapur ditanam di UMS bagi mencapai sasaran sebanyak 200,000 menjelang tahun 2025.

 

Pada tahun ini juga, UMS menyasarkan setiap kakitangannya menanam dua pokok di sekitar kampus dan tempat bersesuaian termasuk kawasan kolaborasi bersama rakan strategik UMS.

 

 

UMS

 

 

UMS

 

 

Selain sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Taufiq turut menyaksikan pemeteraian surat niat (Lol) di antara FPT UMS yang diwakili oleh dekan, Prof Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie dan Pengarah Forest Solutions Malaysia Sdn. Bhd, Guy Thornton.

 

LoI tersebut merangkumi hasrat kedua-dua pihak dalam melaksanakan aktiviti perhutanan dengan lebih proaktif pada masa akan datang. - DagangNews.com