UMW Toyota Motor catat peningkatan jualan sebanyak 12% kepada 25,219 unit pada suku pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota Motor catat peningkatan jualan sebanyak 12% kepada 25,219 unit pada suku pertama 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - UMW Toyota Motor mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 12% bagi suku pertama 2023 selepas mendaftarkan sejumlah 25,219 unit Toyota dan Lexus sehingga Mac 2023 berbanding 22,447 unit yang didaftarkan sehingga Mac 2022.

 

Bagi Mac 2023, kumpulan itu mencatatkan jualan 9,026 unit Toyota dan 110 unit Lexus dan jumlah itu lebih tinggi berbanding 9,297 unit (Toyota + Lexus) yang dicatatkan pada Februari 2023.

 

Pelancaran Toyota Vios baharu pada Mac itu juga menyaksikan kereta sedan subkompak popular sangat laris di pasaran kereta bukan nasional Malaysia sejak diperkenalkan pada 2003.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata, Toyota Vios serba baharu mewakili komitmen kumpulan untuk menyediakan pelanggan dengan kenderaan dan pengalaman pemilikan yang terbaik.

 

"Toyota Vios serba baharu pastinya merupakan model yang kami banggakan untuk diletakkan di jalan raya dan kami berharap ramai rakyat Malaysia akan dapat menikmati pemanduan Vios," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam perkembangan lain,UMW Toyota Motor mengadakan acara penanaman pokok (UMW Green Shoots Initiative ), yang dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia di Tanjung Tuan, Melaka sempena acara Raptor Watch 2023.

 

Inisiatif itu adalah bagi menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Kebangsaan dan sepadan dengan tiga objektif Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

 

Ia juga sejajar dengan komitmen Toyota Motor Corporation untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

 

Anak pokok bakau ditanam untuk membantu dalam pemulihan ekosistem paya bakau di Tanjung Tuan, yang musnah akibat tumpahan minyak pada 2020 yang menyumbang kepada mengimbangi pelepasan CO2 di Malaysia.

 

Sehingga 6,100 pokok telah ditanam oleh 250 sukarelawan terdiri daripada kakitangan sukarelawan, pelajar dan guru dari Universiti Putra Malaysia, Serdang dan Politeknik Port Dickson, Taylor's University dan orang ramai. - DagangNews.com