Unifi tawar pelan mudah alih bersubsidi | DagangNews Skip to main content

Unifi tawar pelan mudah alih bersubsidi

 

 


KUALA LUMPUR 7 Mei - Unifi menawarkan pelan pascabayar unifi Mobile 39 dan pelan prabayar unifi #BEBAS selama 12 bulan untuk rakyat Malaysia yang layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di bawah program Jaringan Prihatin. 

 

Pelan pascabayar unifi Mobile 39, kini berharga hanya RM24 (tidak termasuk SST) sebulan dengan subsidi RM15 daripada kerajaan. 

 

Pelan ini turut didatangkan dengan data tambahan yang banyak iaitu 30GB data LTE setiap bulan sebagai tambahan kepada kuota data 5GB sedia ada. 

 

Sementara itu, pelan permulaan prabayar unifi #BEBAS kini pada harga RM10 dengan kuota data bulanan 2GB dan 1GB data LTE percuma setiap hari.

 

Ketua Pegawai Komersial, Telekom Malaysia Berhad (TM), Anand Vijayan berkata, dengan subsidi yang diberikan ini, pihaknya berharap para penerima BPR akan memilih unifi Mobile sebagai pelan mudah alih yang paling sesuai untuk mereka, dan mengambil peluang ini untuk menikmati penawaran mudah alih dan internet yang
lancar.

 

"Kami berharap dapat meringankan beban kewangan kumpulan ini dan membantu merapatkan jurang digital,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Penerima yang layak boleh memohon pelan internet mudah alih bersubsidi ini menerusi laman web unifi di www.unifi.com.my/jaringanprihatin, atau di mana-mana cawangan TMpoint mulai 5 Mei sehingga 31 Julai 2021 untuk menikmati subsidi tersebut. 

 

Pelan unifi #BEBAS boleh dilanggan menerusi aplikasi mobile@unifi. - DagangNews.com