Unit Straits Energy, FCM bentuk kerjasama sedia perkhidmatan STS di Victoria Bay Port Limit | DagangNews Skip to main content

Unit Straits Energy, FCM bentuk kerjasama sedia perkhidmatan STS di Victoria Bay Port Limit

 

 


KUALA LUMPUR 15 Dis – Straits Energy Resources Bhd. menerusi unitnya, Victoria STS (Labuan) Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian induk (HOA) dengan Fendercare Marine (Asia Pacific) Pte Ltd (FCM) bagi membentuk kerjasama eksklusif untuk menyediakan perkhidmatan ship-to-ship (STS) di Victoria Bay Port Limit, Labuan. 

 

Bagi memastikan kejayaan hab pemindahan STS, kedua-dua pihak akan menggabungkan sumber sinergi dan kepakaran untuk menyediakan perkhidmatan STS di Victoria Bay Port Limit, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Victoria STS merupakan 70% pegangan Fajar Maritime and Logistics Sdn. Bhd., yang juga anak syarikat dengan pegangan 60% Straits Energy dianugerahkan konsesi untuk membangunkan hab pemindahan STS bersepadu di Victoria Bay Port Limit.

 

FCM pula adalah 100% anak syarikat milik Fendercare Marine Ltd., yang juga merupakan anak syarikat milik penuh langsung James Fisher and Son plc, syarikat tersenarai di London Stock Exchange. 

 

Di bawah HOA itu, FCM akan mendaftarkan Victoria Bay Port Limit sebagai hab STS rasmi dalam laman webnya dan melalui rangkaian dan pemasaran globalnya yang luas. 

 

Ini dapat membantu mempromosikan hab itu kepada bakal pelanggan di seluruh dunia dan membawa pelanggan ke Victoria Bay Port Limit sebagai lokasi pilihan STS di Asia.

 

Selain itu, FCM akan menyokong hab STS dengan sistem dan peralatan yang diperlukan, kakitangan terlatih, kawalan nasihat dan menyediakan latihan serta pensijilan tambahan untuk kakitangan Victoria STS.

 

Pengarah Urusan Straits Energy, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata, kerjasama ini menandakan penyertaan kumpulan dalam ruang tenaga mampan dan alternatif. 

 

Katanya, bersama dengan Fendercare, kumpulan akan memberi fokus utama untuk menjadikan Victoria Bay Port Limit sebagai hab pemindahan utama tenaga di Asia.

 

"Kami yakin dapat memenuhi keperluan pelanggan utama perkapalan global dengan gabungan spektrum yang luas dalam penyelesaian maritim berkaitan tenaga dan infrastruktur. 

 

"Hab STS ini dijadualkan mula beroperasi pada awal suku pertama 2022,” katanya. - DagangNews.com