Unit tidak langsung Parkson menangi bidaan sewaan selama 20 tahun di wilayah Sichuan, China | DagangNews Skip to main content

Unit tidak langsung Parkson menangi bidaan sewaan selama 20 tahun di wilayah Sichuan, China

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Okt - Unit tidak langsung anak syarikat Parkson Holdings Bhd. yang tersenarai di Hong Kong, Parkson Retail Group Ltd., memenangi tender untuk penyewaan selama 20 tahun di Mianyang, wilayah Sichuan, China.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Parkson berkata, Mianyang Fulin Parkson Plaza Co., Ltd., menerima notis kejayaan bidaan pada Selasa (25 Oktober 2022) membabitkan ruang seluas 60,000 kaki persegi yang bernilai kira-kira 21.6 juta yuan (RM14.01 juta).

 

Katanya, notis itu mengesahkan ia memperoleh tender bagi sewaan sebahagian LG1 dan tingkat satu hingga empat bangunan di sebelah timur Chuan Ye Da Dao, Mianyang Science and Technology City New District (Zhi Guan District). 

 

"Aktiviti utama kumpulan ialah pengendalian dan pengurusan rangkaian gedung serbaneka di China, dan lembaga pengarah menganggap bahawa sewaan itu memainkan peranan penting dalam pembangunan perniagaannya di Mianyang City, selaras dengan strategi pembangunan kumpulan di Wilayah Sichuan

 

"Hartanah ini dibangunkan khusus untuk kumpulan, terletak di daerah baru Mianyang City yang ditubuhkan pada 2020 dan sedang dibangunkan oleh kerajaan tempatan kepada kalangan perniagaan yang penting.

 

"Oleh itu, lembaga pengarah percaya, sewaan ini akan memberi impak positif kepada perkembangan kumpulan pada masa hadapan," katanya.

 

Menurut kumpulan itu, ia akan memeterai perjanjian kerjasama dengan tuan tanah, Mianyang New Investment Industrial Co. Ltd. dalam tempoh 45 hari selepas menerima notis tersebut.

 

Perjanjian itu bagi merundingkan serta memuktamadkan syarat-syarat penyewaan melalui perjanjian tambahan dalam tempoh 45 hari perniagaan lagi dari tarikh daripada perjanjian kerjasama, sebelum menandatangani perjanjian penyewaan dalam tempoh lima hari selepas tuan tanah mendapat permit perancangan projek pembinaan untuk hartanah berkenaan.

 

Parkson menjelaskan, kumpulan akan membuat pengumuman selanjutnya apabila sesuai dan mematuhi semua keperluan lain yang berkenaan di bawah Peraturan Penyenaraian.

 

"Pemegang saham dan bakal pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati apabila berurusan dalam saham syarikat," katanya. - DagangNews.com