Unitrade sasar ambil alih 51% kepentingan dalam firma pengitar semula logam Intergreen Metals | DagangNews Skip to main content

Unitrade sasar ambil alih 51% kepentingan dalam firma pengitar semula logam Intergreen Metals

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Unitrade Industries Bhd telah bercadang untuk mengambil alih 51% kepentingan dalam pengitar semula logam Intergreen Metals Sdn Bhd (IMSB) bagi mengembangkan perniagaan pemborong dan pengedaran bahan binaannya.

 

Dalam satu kenyataan media semalam, Unitrade berkata ia telah memeterai perjanjian utama (HOA) dengan Intergreen Holdings Sdn Bhd, Intergreen Corporation (M) Sdn Bhd dan Pong Wing Seng untuk merundingkan pengambilalihan kepentingan dalam IMSB untuk harga indikatif sebanyak RM66.3 juta.

 

Menurut kumpulan itu, cadangan pengambilalihan itu akan datang dengan jaminan keuntungan yang akan dipersetujui bersama.

 

Beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor, IMSB merupakan salah satu firma kitar semula sisa logam terkemuka di Malaysia dengan rekod prestasi operasi selama 20 tahun.

 

Pengarah Urusan Unitrade Nomis Sim Siang Leng berkata cadangan pengambilalihan itu akan menandakan kemasukan kumpulan itu ke dalam perniagaan kitar semula logam.

 

"Ini adalah langkah strategik, pelengkap dan sinergistik kepada perniagaan teras kami dalam pemborongan dan pengedaran bahan binaan.

 

“Di bawah entiti diperbesarkan yang disokong oleh pengurusan profesional dan kewangan kami, apatah lagi penjimatan kos, saya yakin kami boleh menambah lebih banyak nilai kepada syarikat kilang keluli dan industri keluli secara keseluruhannya,” katanya.

 

Secara berasingan, Unitrade berkata ia juga telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) bersyarat pada 25 Julai untuk memperoleh 60% kepentingan ekuiti dalam Winnson Marketing Sdn Bhd dengan wang tunai RM2.16 juta.

 

Winnson adalah pakar dalam penjualan dan pengedaran hos hidraulik, gandingan, perkakasan kejuruteraan dan alat ganti yang berkaitan, yang memperluaskan portfolio produk Unitrade.

 

Tambahnya, Winnson merupakan pengedar Molok, jenama terkenal produk pengurusan sisa separa bawah tanah dari Eropah, di mana Unitrade berkata turut membuka pintu baharu untuknya memasuki pasaran pengurusan sisa mampan. - DagangNews.com