Unjuran pendapatan Advancecon pada FY23 dikurangkan 60% kesan kos bahan pembinaan tinggi – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Advancecon pada FY23 dikurangkan 60% kesan kos bahan pembinaan tinggi – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - RHB Investment mengurangkan unjuran pendapatan Advancecon Holdings Bhd bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 60% berikutan kos bahan pembinaan tinggi manakala pengebilan kemajuan pembinaannya rendah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kedua-dua faktor tersebut masih menjejas prestasi syarikat pembinaan berkenaan dan dengan prestasi rendah yang berterusan, penilaiannya terlalu tinggi.

 

Ia menjelaskan bahawa saham didagangkan dengan harga perolehan (P/E) FY24 sebanyak 48 kali, pada lebih 2SD (sisihan piawai) daripada min sejarah lima tahun – yang mewajarkan saranan ‘jual’ firma itu dengan harga sasaran (TP) 24 sen sesaham.

 

Sementara itu, usahasama Advancecon dengan Perak Corp baru-baru ini untuk membangunkan SilverValley Technology Park (SVTP) boleh membawa kepada aliran hasil baharu.

 

RHB Investment berkata, langkah kumpulan itu menceburi pembangunan hab perindustrian SVTP yang mempunyai nilai pembangunan kasar kira-kira RM1 bilion dijangka menjana RM500,000 hingga RM1.5 juta keuntungan selepas cukai ketika peringkat awal pembangunan.

 

“Walaupun kami positif terhadap projek usahasama – kerana ia memperkenalkan aliran pendapatan baharu dan mungkin membawa peluang pembinaan berpotensi untuk bahagian kejuruteraannya – kami tetap berhati-hati dengan kadar pengambilan projek itu, kerana ia terletak di kawasan yang agak baharu,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi perniagaan kuari pula, firma penyelidikan itu berkata, ia merupakan penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan Advancecon pada FY22 dengan merangkumi 35% pendapatannya.

 

Namun, ia telah beroperasi dalam kerugian sejak itu disebabkan oleh pengeluarannya agak rendah dengan jumlah perniagaan yang rendah, peningkatan kos dan perbelanjaan profesional sekali sahaja yang ditanggung berkaitan pelupusan tanah.

 

“Pengurusan menjangkakan FY24 membawa perubahan apabila permintaan pasaran terhadap produk kuari bertambah baik.

 

“Bagaimanapun, kami secara relatif kekal konservatif terhadap keuntungannya buat masa ini,” jelasnya.

 

Buku pesanan tertunggak Advancecon kini dianggarkan sebanyak RM432 juta (nisbah liputan 1 kali) – ini termasuk dua kontrak daripada Sime Darby Property pada suku keempat 2023 dan kontrak pembinaan terkini bernilai RM27.3 juta daripada Mujur Minat untuk Gamuda Gardens Park.

 

RHB Investment menjelaskan bahawa pemangkin penarafan semula yang berpotensi termasuk keupayaan syarikat untuk mendapatkan lebih banyak pekerjaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Barat WCE.

 

Selain itu, pemangkin juga didorong oleh pelancaran projek solar berskala besar kelima (LSS5) yang lebih cepat daripada jangkaan, berdasarkan pengalamannya dalam pelaksanaan perjanjian pembelian kuasa 26MW (megawatt) dengan Tenaga Nasional

 

Meskipun mengurangkan unjuran pendapatan FY23, firma itu meningkatkan unjuran pendapatan FY24-25 sebanyak kira-kira 4% hingga 33% selepas mengambil kira aliran pendapatan daripada pembangunan hartanah dan pelarasan kecil pada perniagaan kuari. - DagangNews.com