Unjuran pendapatan CJ Century pada FY24-25 diturunkan 10% ekoran jumlah penghantaran menurun – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan CJ Century pada FY24-25 diturunkan 10% ekoran jumlah penghantaran menurun – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - MIDF Research menurunkan unjuran pendapatan CJ Century Logistics Holdings Berhad untuk tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 10% selepas mengambil kira jumlah penghantaran yang menurun sedikit dan kemas kini angka setahun penuh.

 

Firma tersebut berkata, kumpulan mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras berjumlah RM10.7 juta bagi FY23 hanya merangkumi unjuran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak 77% dan 83%.

 

“Ini terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen logistik kontrak dan jumlah pengeluaran untuk segmen logistik perolehan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas tentang prospek kumpulan itu, MIDF Research optimis bahagian perkhidmatan logistik jumlah (TLS) boleh menyaksikan pemulihan pada FY24, disokong oleh peningkatan perdagangan Korea Selatan selepas ia mencatat kemerosotan sepanjang tahun pada akhir FY23, yang menyuntik keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonominya untuk tahun ini. 

 

Pelanggan CJ Century yang berpangkalan di Korea Selatan menyumbang 30% hingga 35% daripada hasil kumpulan, katanya.

 

Sementara itu, bahagian perkhidmatan logistik perolehan (PLS) dijangka mengekalkan daya tahan, dengan unjuran pertumbuhan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) ke Vietnam dan Indonesia, yang merupakan pasaran eksport utama CJ Century.

 

Menurut firma penyelidikan itu, andaian positif itu disokong oleh ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara (KDNK) tahun ini bagi Vietnam pada 6% hingga 6.5% manakala Indonesia mengunjurkan pertumbuhan 4.7% kepada 5.5%.

 

Dengan mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas syarikat perkhidmatan logistik itu, MIDF Research mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 45 sen sesahan daripada 50 sen sebelum ini berdasarkan gandaan pendapatan sesaham (EPS) FY24 sebanyak 12 kali ganda.

 

Pada masa ini, saham kumpulan itu didagangkan pada diskaun 21% kepada min sejarah lima tahunnya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata risiko utama kepada saranan tersebut adalah termasuk tekanan inflasi ke atas kos operasi dan nilai perniagaan yang lebih rendah daripada jangkaan. - DagangNews.com