KUALA LUMPUR 21 Nov - Unjuran pendapatan MR DIY Group (M) Berhad bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing diturunkan sebanyak 5%, 6% dan 5% disebabkan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang lebih lemah.
Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) berkata keputusan 3QFY23 lemah kerana perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi daripada jangkaan.
“Pendapatan suku berikutnya sepatutnya lebih kukuh bermusim didorong perbelanjaan perayaan lebih tinggi tetapi kecenderungan pengguna untuk berbelanja mungkin sebahagiannya kekal terhalang oleh tekanan inflasi yang berterusan,” ulasnya dalam nota pneyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Sumbangan kedai baharu pacu pendapatan MR DIY kepada RM123.95 juta pada S3 2023
Firma penyelidikan itu berkata pendapatan kumpulan pada 3QFY23 menguncup 3% suku ke suku (QoQ) tanpa adanya perbelanjaan perayaan dan perbelanjaan lebih lemah berikutan sentimen pengguna lemah.
Tambahnya, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) merosot 15% QoQ ekoran campuran produk yang lebih lemah, serta perbelanjaan susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, bagi tahun ke tahun (YoY), pertumbuhan pendapatan MR DIY meningkat 10% disebabkan oleh sumbangan tambahan daripada kedai baharu (165 kedai setakat tahun ini) dan jumlah urus niaga yang lebih tinggi (16% YoY), walaupun SSSG negatif sebanyak 2.2% YoY dan saiz bakul purata yang lebih rendah sebanyak RM25.50 (5% YoY).
Sementara itu, EBIT meningkat 24% YoY diterajui oleh margin keuntungan kasar yang lebih kukuh (menokok 3.9 mata peratusan YoY) didorong kenaikan harga dan kos pengangkutan yang lebih rendah.
“Pelan pembesaran kedai juga dijangka meningkat pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) untuk MR DIY mencapai sasaran pembukaan kedai FY23 (180 kedai YoY).
“Pada FY24, MR DIY menyasarkan untuk membuka 180 lagi kedai, dan menyasarkan untuk mencapai sejumlah 2,000 kedai merentas semua jenamanya menjelang 2028,” katanya mengulas mengenai prospek kumpulan.
Di samping itu, gudang automatik kumpulan dijangka beroperasi menjelang 2QFY24 dengan penjimatan kos sebanyak RM10 juta setahun.
Secara berasingan, MR DIY akan melihat peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang menyediakan sinergi operasi tetapi butirannya masih kurang pada ketika ini.
Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) pada RM2.40 sesaham.
Pada pukul 10:25 pagi ini, saham MR DIY telah menurun 4 sen atau 2.5% kepada RM1.57 dengan permodalan pasaran sebanyak RM14.8 bilion. - DagangNews.com