Unjuran untung bersih Ancom Nylex bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 8% berikutan prestasi kewangan 1QFY24 di bawah jangkaan – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih Ancom Nylex bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 8% berikutan prestasi kewangan 1QFY24 di bawah jangkaan – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kenanga Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih Ancom Nylex Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 8% dan 3%.

 

Ini adalah berikutan laporan kewangan kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) yang kurang daripada jangkaan firma penyelidikan itu dengan hanya merangkumi 19% daripada anggaran tahun penuh, namun memenuhi konsensus sebanyak 21%.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ancom Nylex catat untung bersih RM20.8 juta pada 1QFY23 didorong peningkatan pendapatan segmen bahan kimia pertanian

 

 

“Walaupun unjuran keuntungan bersih kumpulan dikurangkan, pertumbuhan pendapatan masih kukuh dalam FY24 dan FY25 masing-masing pada 32% dan 29%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu berkata memandangkan pengeluar MSMA yang lain berada di Israel, Ancom Nylex juga mungkin mendapatkan pesanan tambahan atau/dan melihat purata harga jualan (ASP) yang lebih kukuh bergerak ke hadapan disebabkan oleh ketegangan Timur Tengah pada masa ini.

 

Selain itu, permintaan pengawet kayu daripada Amerika Syarikat adalah baik dan produk itu menarik margin yang lebih baik berbanding produk kimia pertanian tradisional kerana Ancom Nylex hampir menguasai segmen produk ini.

 

Sementara itu, produknya, Bromacil dan Ester, yang diperkenalkan untuk menyasarkan tanaman nanas dan bijirin pada FY22 sedang berkembang walaupun masih kecil.

 

“Kapasiti baharu dalam perancangan untuk pelancaran dua hingga tiga lagi produk baharu sepanjang FY24-26 termasuk bahan aktif ‘T’,” tambahnya.

 

Ancom Nylex juga memperoleh pemindahan kepakaran atau aset seperti HJ Unkel Chemicals untuk mengukuhkan perolehan atau pengambilalihan aset berkaitan kesihatan haiwan (Shennong) pada Disember 2021, katanya.

 

Kenanga Research berkata persaingan dalam ruang kimia pertanian masih sengit walaupun agak stabil.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.50 daripada RM1.80 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan FY24 pada 15 kali ganda.

 

Firma itu berkata Ancom Nylex terus disukai: (i) kedudukannya sebagai pengeluar bahan aktif herbisida terbesar di Asia Tenggara, (ii) ia merupakan penerima manfaat larangan meluas penggunaan paraquat, dan (iii) ia menjadi proksi kepada global pengeluaran makanan dan matlamat keselamatan makanan.

 

Pada pukul 11:43 pagi, saham Ancom Nylex menokok 1 sen atau 0.8% kepada RM1.19 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.18 bilion.  - DagangNews.com