Unjuran untung bersih United U-Li bagi FY23 dikurangkan 10% kesan penurunan purata harga jualan sistem sokongan kabel – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih United U-Li bagi FY23 dikurangkan 10% kesan penurunan purata harga jualan sistem sokongan kabel – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kenanga Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih United U-Li Corporation Bhd bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 10% untuk mencerminkan purata harga jualan (ASP) sistem sokongan kabelnya yang lebih rendah tetapi mengekalkan angka FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata keputusan kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) meleset dari jangkaan kerana langkah taktikal pada suku ketiga untuk mendapatkan bahagian pasaran dalam ruang projek perumahan dengan mengorbankan margin.

 

Menurut Kenanga Research, keuntungan bersih teras 9MFY23 United U-Li sebanyak RM30.5 juta hanya mencapai 60% daripada ramalan setahun penuh firma.

 

Jelasnya, pendapatan kumpulan pada tempoh berkenaan turun sedikit 1% disebabkan ASP lebih rendah untuk sistem sokongan kabelnya, namun keuntungan bersihnya meningkat 7%, didorong oleh kos gegelung ‘input cold-rolled’ dan peningkatan pendapatan faedah.

 

Mengulas mengenai prospek pendapatan kumpulan, firma itu berkata ia kukuh, didorong oleh permintaan yang menggalakkan untuk sistem sokongan kabel disokong ledakan pembinaan di kedua-dua ruang persendirian (pusat data, gudang, projek hospital, dll) serta projek mega awam yang akan berlaku (sedang berlangsung dan akan berlaku seperti Laluan Rel Timur (ERL), Sistem Transit Rapid (RTS) Singapura Johor Bahru, LRT Bayan Lepas dan MRT3).

 

“Penggabungan dalam pasaran sistem sokongan kabel tempatan semasa era pandemik (iaitu penggiat lemah gulung syarikat secara kekal) juga telah menyebabkan persaingan berkurangan, yang merupakan petanda baik untuk peneraju pasaran United U-Li,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research berkata ia menyukai United U-Li keranta ia membuka semula industri berikutan pemulihan permintaan untuk produk sistem sokongan kabelnya digunakan secara meluas dalam bangunan dan infrastruktur.

 

Selain itu, kumpulan itu memiliki kedudukan pasaran dominan dengan bahagian pasaran lebih 50% dalam ruang sistem sokongan kabel tempatan.

 

Ia juga mempunyai kedudukan tunai bersihnya sebanyak RM99 juta yang memberikannya simpanan dana yang kukuh atau membolehkannya membayar dividen menarik.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran RM2.18 sesaham.

 

Pada pukul 11:02 pagi ini, saham United U-Li turun 16 sen atau 9% kepada RM1.62 dengan permodalan pasaran bernilai RM352.8 juta.  - DagangNews.com