Untung bersih 2QFY24 ViTrox susut kepada RM28.1 juta kesan perbelanjaan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2QFY24 ViTrox susut kepada RM28.1 juta kesan perbelanjaan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Untung bersih ViTrox Corporation Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut kepada RM28.1 juta berbanding RM37.7 juta pada tahun lalu disebabkan perbelanjaan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerugian tukaran mata wang asing.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga menyusut 8.2% kepada RM137.2 juta berbanding RM149.4 juta pada 2QFY23.

 

"Kadar pemulihan pasaran global yang lebih perlahan daripada jangkaan awal telah menjejaskan permintaan jualan untuk segmen papan pemeriksaan automatik (ABI) tetapi diimbangi jualan yang kukuh daripada sistem penglihatan mesin (MVS)," katanya.

 

Katanya, untung bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY24) juga menyusut kepada RM45.3 juta berbanding RM70.6 juta pada tahun sebelumnya didorong penurunan hasil kepada RM256.8 juta berbanding RM282.7 juta bagi 6MFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pada separuh kedua 2024, lembaga pengarah kekal optimis dengan potensi perniagaan walaupun berdepan pemulihan ekonomi global yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

Kumpulan itu yakin mencapai pertumbuhan yang stabil dan penambahbaikan dalam sektor semikonduktor.

 

"Bagi mengekalkan kelebihan daya saing, kami akan melabur dalam R&D bagi menyampaikan rumusan teknologi termaju, memanfaatkan peluang yang dibentangkan oleh Industri 4.0 dan kecerdasan buatan (AI).

 

"Kami juga akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dengan pelanggan selain memastikan pengurusan kos yang efektif," katanya. - DagangNews.com