Untung bersih 3QFY24 Alliance Bank diunjur melebihi RM185 juta, didorong peningkatan margin faedah bersih - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 3QFY24 Alliance Bank diunjur melebihi RM185 juta, didorong peningkatan margin faedah bersih - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan -  AmInvestment Bank Research menjangkakan untung bersih Alliance Bank Malaysia Berhad bagi 3QFY24 lebih tinggi daripada RM185 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya didorong peningkatan margin faedah bersih (NIM).

 

Katanya, ia juga turut disokong pertumbuhan pinjaman yang kukuh, pendapatan bukan faedah (NOII) yang lebih stabil selain pendapatan perbendaharaan serta pasaran yang lebih tinggi. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan ketiadaan perbelanjaan bagi pekerja tambahan pada 2QFY24, perbelanjaan operasi dijangka menjadi lebih rendah pada 3QFY24 dengan peruntukan yang stabil.

 

"Kami mengekalkan andaian pertumbuhan pinjaman sebanyak 8% untuk FY24 dan menjangkakan pengembangan dalam buku pinjaman terus mengatasi pertumbuhan industri sebanyak 4% hingga 5%.

 

"Pertumbuhan pinjaman gadai janji kekal stabil tanpa mengorbankan hasil kerana kami memahami bahawa pinjaman hartanah kediaman adalah lebih tinggi ketika ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, AmInvestment berkata, NIM Alliance bank 3QFY24 juga dijangka bertambah baik berbanding 2QFY24 disebabkan kos dana yang lebih rendah.

 

Katanya, walaupun kempen deposit berterusan, kadar deposit tetap terus menjadi lebih rasional pada 3QFY24 berbanding 3QFY23.

 

Promosi kadar deposit tetap memerlukan pelanggan mendaftar sama ada untuk produk bankasurans, kad kredit atau deposit SavePlus.

 

"Memandangkan deposit tetap yang diperoleh pada suku kebelakangan ini dengan kadar promosi untuk tempoh tiga hingga enam bulan dijangka matang menjelang suku kedua 2025, kami menjangkakan kos pendanaan akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

 

"NIM bagi 9MFY24 berada di landasan tepat bagi memenuhi panduan pengurusan sebanyak 2.45% hingga 2.5% untuk FY24F, pemampatan 14bps kepada 19bps dari FY23," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM3.60 sesaham. - DagangNews.com