Untung bersih 4QFY23 Apex Healthcare susut kepada RM20 juta kesan pendapatan berulang lebih rendah daripada syarikat bersekutu | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 4QFY23 Apex Healthcare susut kepada RM20 juta kesan pendapatan berulang lebih rendah daripada syarikat bersekutu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Untung bersih Apex Healthcare Bhd bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) susut kepada RM20 juta berbanding RM34.8 juta bagi suku sama tahun lalu disebabkan pendapatan berulang lebih rendah daripada anak syarikat.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku tersebut bagaimanapun meningkat kepada RM240 juta berbanding RM220 juta pada 4QFY22.

 

"Jualan farmaseutikal, produk penjagaan kesihatan pengguna dan peranti perubatan bertambah baik di Malaysia dan Singapura, dibantu oleh prestasi agensi pengedaran serta gelombang baharu jangkitan COVID-19 selain penyakit pernafasan lain dalam komuniti.

 

"Tidak termasuk impak perbelanjaan dikelaskan semula, keuntungan operasi bagi suku tersebut mencecah RM25.9 juta, rendah daripada RM26 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas walaupun hasil lebih tinggi.

 

"Ia disebabkan hasil pengagihan margin yang lebih rendah dalam campuran jualan suku tahunan serta sumbangan daripada agensi pengedaran pengguna," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) untung bersih mereka melonjak kepada RM398 juta berbanding RM101 juta pada FY22 didorong peningkatan hasil kepada RM936 juta berbanding RM878 juta pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, pertumbuhan hasil yang positif itu boleh dikaitkan dengan pemulihan ekonomi berterusan, peningkatan keyakinan pengguna selain keyaan pelancaran produk baharu di bawah jenama kumpulan itu.

 

"Ia juga disokong peningkatan sumbangan daripada agensi pengedaran sedia ada selain peningkatan jualan ubat pernafasan, termasuk produk batuk dan selsema kumpulan," katanya.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Dr. Kee Kirk Chin berkata, pihaknya berada pada kedudukan baik untuk terus mencipta kejayaan dengan tumpuan kepada pengembangan bahagian pasaran domestik, penerokaan pasaran antarabangsa baharu dan meningkatkan pelancaran produk penjagaan kesihatan pengguna baharu.

 

Beliau berkata, pihaknya teruja dengan rancangan pengembangan kapasiti dan keupayaan pembuatan farmaseutikal untuk produk cecair di kilang baharunya di Melaka. 

 

"Ini akan membolehkan kami mengeluarkan rangkaian produk baharu, sambil memenuhi permintaan masa depan untuk ubat batuk dan selesema.

 

"Kami juga akan memberi fokus kepada pendigitalan proses perniagaan bagi memastikan  kumpulan terus berada di hadapan dalam kemajuan teknologii selain meningkatkan amalan pengurusan dan memperhalusi mekanisme pelaporan," katanya. - DagangNews.com