Untung bersih AEON Malaysia meningkat 194% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih AEON Malaysia meningkat 194%

 

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Keuntungan selepas cukai AEON CO. (M) BHD. (AEON Malaysia) meningkat 194% pada suku pertama tahun kewangan 2021 kepada RM22 juta berbanding tahun sebelumnya, sebanyak RM7.5 juta.

 

Prestasi lebih baik ini disokong oleh pendekatan kumpulan yang lebih tangkas, dari segi keusahawanan dan pendekatan 'genba' dalam menangani wabak COVID-19 menyaksikan peningkatan dari segi margin barang dagangan kasar, perubahan kepada mekanik pemasaran serta struktur pengurusan kos yang mampan.

 

Keuntungan daripada operasi dan keuntungan sebelum cukai juga masing-masing meningkat kepada RM72.7 juta dan RM41.8 juta berbanding tahun sebelumnya.

 

Malah, AEON Malaysia dalam kenyataan turut menegaskan, keselamatan pengguna sering menjadi keutamaan syarikat.

 

Bagi mengekalkan penjarakan sosial, akses yang ketat dilaksanakan di semua pusat beli-belah AEON di seluruh negara sepanjang pandemik ini. 

 

Antaranya, termasuklah mengehadkan jumlah pengunjung antara 150 hingga 300 orang bagi satu-satu tempoh masa di pasar raya AEON bergantung kepada ruang premis.

 

Bagaimanapun, penurunan jumlah pelanggan turut mengurangkan pendapatan bagi tempoh tersebut yang mencecah RM1.013 bilion, 15% lebih rendah berbanding suku sama tahun lalu sebanyak RM1.191 bilion.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AEON Malaysia, Shafie Shamsuddin berkata, mengambil kira gangguan berkaitan pandemik, syarikat bersyukur di atas sokongan berterusan pelanggan, rakan dan pembekal serta yang paling utama dedikasi ditunjukkan oleh kakitangan yang berusaha keras.

 

"Memandangkan kita berada dalam norma baharu, kami akan meneruskan momentum positif dan berusaha untuk mendapatkan pulangan kewangan yang lebih besar bagi memastikan pihak berkepentingan iaitu pekerja, pelanggan, rakan kongsi, pemegang saham dan pelabur, kesemuanya dijaga dengan baik," katanya. - DagangNews.com