Untung bersih AmBank meningkat 22% kepada RM543 juta pada 3QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih AmBank meningkat 22% kepada RM543 juta pada 3QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - AMMB Holdings Berhad (AmBank Group) mencatat keuntungan bersih RM543 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24), 22% lebih tinggi daripada RM44 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan perbankan itu dalam suku berakhir 31 Disember 2023 menyusut 5.8% kepada RM1.15 bilion daripada RM1.2 bilion.

 

Pendapatan sesahamnya (EPS) menokok kepada 16.42 sen pada suku dalam tinjauan berbanding 13.42 sen sebelumnya.

 

“Dengan pengiktirafan kredit cukai sekali sahaja sebanyak RM537.6 juta, kesannya bagi suku ini adalah manfaat bersih RM135.1 juta kepada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI),” katanya.

 

Menurut AmBank, keuntungan operasinya sebelum kerugian rosot nilai menurun 13.2% kepada RM629.7 juta pada 3QFY24 daripada RM725.4 juta berikutan pendapatan berasaskan dana yang lebih tinggi daripada aset berfaedah, selain peningkatan kos pembiayaan dan pendapatan berasaskan yuran, serta bahagian yang lebih tinggi dalam hasil syarikat bersekutu dan usaha sama.

 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 (9MFY24), keuntungan bersih AmBank meningkat 8.6% kepada RM1.39 bilion daripada RM1.28 bilion, manakala pendapatannya susut 2.1% kepada RM3.48 bilion daripada RM3.55 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata kumpulan itu mengekalkan pulangan ke atas ekuiti pada 10%. 

 

“Kami mengambil langkah untuk meningkatkan liputan kerugian pinjaman (LLC) kepada 100% untuk segmen runcit individu sebagai penimbal berhemat dan mengukuhkan lagi nisbah modal, yang menandakan kumpulan berada di landasan untuk kembali kepada trend pembayaran dividen sejarahnya,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Mengorak langkah ke hadapan, AmBank mengekalkan pendirian optimis terhadap prospek FY24, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan jangkaan pemulihan permintaan luar.

 

Tambahnya, ia kekal komited dalam memastikan strategi Focus 8 FY21 hingga FY24 diakhiri pada tahap tinggi dengan memberi tumpuan kepada memacu pertumbuhan pendapatan yang mampan, mengekalkan disiplin kos, meningkatkan kualiti aset, memastikan kedudukan mudah tunai yang sihat dan mengukuhkan lagi tahap modal. - DagangNews.com