KUALA LUMPUR 25 Sept - Untung bersih Astro Malaysia Holdings Berhad menyusut kepada RM23.6 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2023 (2QFY24) berbanding RM98.4 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak RM869.8 juta berbanding RM921.1 juta pada 2QFY23.
Ketua Pegawai Eksekuti Astro, Euan Smith berkata, memandangkan pihaknya beralih menjadi syarikat penstriman digital, pek AstroTV, yang boleh digabungkan dengan perkhidmatan Astro Fibre, terus mendapat sambutan yang baik.
Beliau berkata, purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) meningkat sebanyak RM1.70 dari tahun ke tahun dan sebanyak 40 sen dari bulan ke bulan kepada RM99.10 pada 2QFY24 dengan asas jalur lebar meningkat 27%.
Katanya, penstriman menerusi kotak Ultra dan Ulti serta Astro GO telah meningkat, dengan rancangan On Demand yang distrim meningkat sebanyak 31% tahun ke tahun kepada 389 juta pada 1HFY24.
"Pemasangan kotak Ultra dan Ulti meningkat 37% tahun ke tahun kepada 930,000 manakala Astro GO menyaksikan 508,000 pengguna aktif bulanan dengan purata masa tontonan mingguan selama 3.3 jam.
"Kami terus menyenaraikan aplikasi penstriman dan gaya hidup yang terbaik ke dalam kotak Ultra dan Ulti kami, dengan pelancaran Qalbox, SYOK dan MyAstro mengembangkan aplikasi keluarga kami kepada 14," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Euan berkata, pihaknya memperuntukkan lebih RM300 jutabagi FY24 untuk kandungan tempatan.
Beliau berkata, pihaknya tururt mereka semula saranan kandungan demi menunaikan permintaan yang kian meningkat untuk kandungan tempatan berkualiti tinggi pelbagai bidang dan genre.
Katanya, cabaran makroekonomi yang tidak menentu selain ketidakstabilan dolar perubahan seismik dalam industri global dan tekanan kos hidup berterusan.
"Kami kekal berhati-hati dan sentiasa memantau keadaan perniagaan, pada masa yang sama menguruskan kos perbelanjaan dengan cermat dan berhemah," katanya. - DagangNews.com