KUALA LUMPUR 27 Mei - Bintulu Port Holdings Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM41.06 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 66.23% daripada RM24.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong prestasi perniagaan perkhidmatan pelabuhan dan pukal yang memberangsangkan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku berkenaan, hasil turut meningkat kepada RM198.11 juta daripada RM184.8 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Hasil yang direkodkan daripada perkhidmatan di Pelabuhan Bintulu meningkat kepada RM146.41 juta berbanding RM142.46 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, hasil yang dijana daripada operasi di Pelabuhan Perindustrian Samalaju turut meningkat kepada RM41.90 juta daripada RM32.64 juta.
Kemudahan pukal turut mencatat peningkatan hasil kepada RM9.79 juta berbanding RM9.7 juta pada tempoh sama 2021.
Mengenai prospek Bintulu Port, kumpulan menjangkakan momentum positif dalam pengeluaran kargo daripada gas asli cecair (LNG), minyak sawit, kontena dan sektor pukal kering berikutan kebanyakan negara telah melonggarkan prosedur operasi standard berkaitan dengan COVID-19.
"Jangkaan ini juga berdasarkan andaian bahawa ekonomi global akan terus pulih secara beransur-ansur daripada kesan pandemik.
“Namun begitu, Bintulu Port akan terus berwaspada dengan situasi semasa yang tercetus daripada konflik Rusia-Ukraine,” katanya. - DagangNews.com