Untung bersih Bumi Armada merosot 55% kepada RM332 juta pada FY23  | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bumi Armada merosot 55% kepada RM332 juta pada FY23 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Keuntungan bersih Bumi Armada Bhd merosot 55% kepada RM332 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23) daripada RM732 juta tahun sebelumnya berikutan sumbangan lebih rendah daripada kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Armada Kraken.

 

Ia juga mencatat pendapatan lebih rendah 11% kepada RM2.13 bilion berbanding RM2.4 bilion tahun sebelumnya, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan merosot berkurang kepada 5.61 sen pada tahun semasa daripada 12.38 sen.

 

Penjanaan tunai kumpulan itu bagi FY23 kekal kukuh dengan aliran tunai tahunan daripada aktiviti operasi sebanyak RM988.6 juta.

 

Bumi Armada mengakhiri FY23 dengan kerugian bersih RM165 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding keuntungan bersih RM210.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan pendapatan RM623 juta, meningkat 3% daripada RM605 juta.

 

Dalam satu kenyataan media, kumpulan itu berkata ia mengalami kemerosotan harta, loji dan peralatan (PPE) sebanyak RM514.4 juta pada suku tersebut bagi aset FPSO Armada Kraken dan pembinaan dasar laut.

 

Di samping itu, keuntungan operasi suku tahunan sebelum rosot nilai meningkat kepada RM386.3 juta dengan penjanaan aliran tunai operasi bersih sebanyak RM210.8 juta.

 

Bumi Armada mendedahkan bahawa buku pesanannya setakat penghujung 4QFY23 kekal kukuh pada RM9.8 bilion, dengan tambahan pilihan lanjutan sehingga RM9.5 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, kapal-kapal kumpulan itu, terutamanya FPSO Armada Kraken, menunjukkan prestasi yang baik pada suku tersebut walaupun terdapat kemerosotan bukan tunai PPE, yang memberi kesan kepada prestasi 4QFY23. 

 

“Penjanaan tunai yang kekal teguh membolehkan kami mengurangkan lagi hutang. Melangkah ke hadapan, kami akan terus meneroka langkah untuk meningkatkan nilai pemegang saham termasuk projek baharu dan kemungkinan aktiviti korporat,” ujar beliau. - DagangNews.com