Untung bersih Daibochi susut kepada RM8.89 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Daibochi susut kepada RM8.89 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. -  Untung bersih Daibochi Bhd turun 20.8% kepada RM8.89 juta bagi suku keempat yang berakhir 31 Julai 2021 berbanding RM11.22 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Menurut syarikat itu, penyusutan itu disebabkan pendapatan yang lebih rendah serta kos operasi yang lebih tinggi.

Syarikat itu yang kini dalam proses pengambilalihan oleh Scientex Bhd turut mencatatkan penurunan 14.2% dalam perolehannya suku ini kepada RM133.79 juta daripada RM155.77 juta yang dicatat pada suku keempat tahun kewangan 2020.

Berdasarkan suku ke suku untung bersih Daibochi merosot sebanyak 13.4% daripada RM10.26 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021, sementara pendapatan turun 10.9% daripada RM150.12 juta.

"Pendapatan yang rendah terutama disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah dari pelanggan tempatan, yang mengalami gangguan terhadap kegiatan operasi mereka akibat wabak COVID-19, serta sekatan operasi yang timbul kesan daripada perintah kawalan pergerakan sebelum ini," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Daibochi berkata sekatan seperti pengurangan kapasiti tenaga kerja pada 60% sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Penuh mulai 1 Jun, telah mempengaruhi pengeluaran dan kecekapan kumpulan untuk suku yang dikaji.

"Semasa suku keempat tahun kewangan 2021, kilang kumpulan di Ayer Keroh, Melaka telah menerima dua notis penutupan sementara dari Kementerian Kesihatan kerana masalah berkaitan COVID-19," jelas syarikat itu.

Untuk tahun kewangan penuh yang berakhir pada 31 Julai 2021 (TK21), keuntungan bersih kumpulan merosot 1.3% kepada RM47.03 juta berbanding RM47.67 juta pada TK20. Pendapatan juga turun 2.8% kepada RM601.87 juta berbanding RM619.28 juta.

Dalam pernyataan yang berasingan, Daibochi memberi amaran mengenai keadaan pasaran yang mencabar pada tahun kewangan 2022, berikutan sekatan operasi dan peningkatan kos pematuhan prosedur operasi standard COVID-19, yang akan menghasilkan kecekapan pengeluaran yang kurang ideal kerana gangguan proses dan kos barang yang lebih tinggi.

"Walaupun negara ini secara beransur-ansur membenarkan kegiatan ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara, hakikatnya landskap operasi untuk sektor pembuatan tetap tidak stabil. 

"Kami telah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk meminimumkan kesan, termasuk mengambil bahagian dalam program ujian dan imunisasi Covid-19 biasa untuk memelihara aset terpenting kami, iaitu kakitangan kami," katanya. -DagangNews.com