Untung bersih EcoWorld Malaysia susut 10% kepada RM57 juta bagi 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih EcoWorld Malaysia susut 10% kepada RM57 juta bagi 1QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mac - Untung bersih Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) menyusut sebanyak 10% kepada RM57 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2023 (1QFY23) berbanding RM63.3 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil jualan sebanyak RM1.35 bilion bagi empat bulan pertama FY23 mengatasi jumlah 1.28 bilion bagi tempoh sama tahun lalu mewakili 38.5% daripada sasaran jualan FY23 kumpulan sebanyak RM3.5 bilion.

 

Katanya, segmen industri Eco Business Parks (EBP) mencatatkan jualan tertinggi, menyumbang RM616 juta, membentuk 46% daripada jumlah jualan keseluruhan dan ia didorong oleh permintaan kukuh daripada industri tempatan serta antarabangsa.

 

Kumpulan itu berkata, hasil jualan kediaman berjumlah RM548 juta bagi empat bulan pertama FY23 didorong minat berterusan pelanggan dalam produk yang dinaiktaraf.

 

Hasil masa depan kumpulan juga meningkat kepada RM4.03 bilion pada 28 Februari 2023, memberikan aliran tunai yang jelas dan keterlihatan pendapatan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Kim Wah berkata, kepelbagaian rangkaian produk kumpulan termasuk portfolio perindustrian dan komersial selain kediaman membolehkan pihaknya mencatatkan jualan RM1.35 bilion dalam tempoh empat bulan bagi FY23.

 

Katanya, segmen taman perniagaan kumpulan bermula dengan baik berikutan penjualan strategik tanah  perindustrian seluas 92 hektar di EBP II di Iskandar Malaysia kepada Haitian Group.

 

Haitian Group merupakan pengeluar peralatan industri terkemuka dari China yang memberi pengkhususan dalam pengeluaran pelbagai jenis mesin dan penyelesaian perindustrian penjimatan tenaga, mesra alam dan berketepatan tinggi.

 

Portfolio produk canggih mereka termasuk pembuatan mesin pengacuan suntikan jisim dan berketepatan tinggi meliputi keseluruhan spektrum industri pemprosesan plastik untuk melayani sektor automotif, pembungkusan, perubatan, elektronik, logistik dan barangan pengguna.

 

"Kami berbesar hati kerana Haitian Group memilih untuk bekerjasama dengan EcoWorld apabila mereka mencari tapak yang sesuai untuk menubuhkan pangkalan pembuatan yang besar di Malaysia.

 

"Perjanjian penting ini adalah hasil usaha bersepadu selama bertahun-tahun oleh pasukan kami untuk membina rangkaian kami dan secara aktif mengejar petunjuk dengan industrialis multinasional,” katanya. - DagangNews.com