Untung bersih ELK-Desa merosot 52% kepada RM8.5 juta pada 1QFY23 akibat elaun rosot nilai | DagangNews Skip to main content

Untung bersih ELK-Desa merosot 52% kepada RM8.5 juta pada 1QFY23 akibat elaun rosot nilai

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Keuntungan bersih ELK-Desa Resources Berhad bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 merosot 52% kepada RM8.5 juta daripada RM17.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu, disebabkan elaun rosot nilai.

 

Manakala pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 Jun 2023 berkenaan meningkat sedikit 0.57% kepada RM39.2 juta berbanding RM39 juta sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) susut kepada 1.87 sen daripada 3.88 sen.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat peminjaman bukan bank menumpukan kepada segmen kereta terpakai itu berkata pada suku tersebut, terdapat elaun rosot nilai berjumlah RM7.33 juta berbanding penarikbalikan elaun rosot nilai berjumlah RM5.36 juta tahun lepas.

 

Tambahnya, terdapat juga caj kerugian kredit (elaun rosot nilai daripada purata hutang sewa beli bersih) sebanyak 1.18% berbanding penarikbalikan caj kerugian kredit sebanyak 1.01% setahun yang lalu.

 

Kumpulan itu menjelaskan bahawa kedua-dua penarikbalikan elaun rosot nilai dan caj kerugian kredit dalam tempoh sama tahun sebelumnya adalah disebabkan oleh kutipan yang sangat baik dan aktiviti pemulihan yang positif.

 

ELK-Desa berkata ia tidak menjangkakan penarikbalikan bersifat sedemikian pada masa akan datang.

 

Selain itu, katanya, nisbah pinjaman terjejas bersih telah meningkat daripada 1.92% pada 31 Mac 2023 kepada 2.25% setakat 30 Jun 2023.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan ELK-Desa, Teoh Seng Hee berkata kumpulan itu percaya bahawa permintaan untuk pembiayaan kereta terpakai akan terus kekal kukuh ketika ekonomi Malaysia meneruskan pemulihannya.

 

“Namun begitu, kumpulan tidak menjangkakan peningkatan mendadak dalam penghutang sewa beli memandangkan makroekonomi tidak menentu dalam landskap operasinya.

 

Sebagai tambahan kepada tekanan inflasi yang telah menjejaskan corak pembayaran balik penyewa, industri pembiayaan kereta terpakai juga mungkin memerlukan perubahan proses untuk menyesuaikan diri dengan kawal selia baharu oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna, yang dijangka berkuat kuasa pada 2024,” tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham ELK-Desa susut 2 sen atau 1.6% kepada RM1.25 dengan permodalan pasaran berjumlah RM568.5 juta.  - DagangNews.com