Untung bersih FY24 Bonia dijangka susut kepada RM35 juta kesan sentimen pengguna lemah, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FY24 Bonia dijangka susut kepada RM35 juta kesan sentimen pengguna lemah, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jan - Untung bersih Bonia Corporation Berhad bagi FY24 dijangka susut 44% kepada RM35 juta kesan daripada sentimen pengguna yang lemah.

 

Kenanga Research berkata, sebelum ini, hasil kumpulan itu susut sebanyak 3.3% kepada RM96.4 juta oada 1QFY24 dipengaruhi sentimen pengguna yang lemah inflasi.

 

Katanya, untung kasar kumpulan itu juga berkurangan dengan ketara sebanyak 38.5% kepada RM12.1 juta kesan peningkatan kos kakitangan, susut nilai yang lebih tinggi akibat pembukaan butik baharu dan peningkatan kos kewangan disebabkan peningkatan pinjaman.

 

Dengan kadar percukaian yang lebih tinggi, untung bersih Bonia turun kepada 46% kepada RM9 juta.

 

"Sentimen pengguna yang lemah itu dijangka berterusan hingga separuh pertama 2024.

 

"Bagaimanapun, penambahbaikan dijangka pada separuh kedua tahun ini berikutan penjelasan lebih lanjut daripada pihak berkuasa mengenai pelan rasionalisasi subsidi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyedari perubahan dalam corak perbelanjaan pengguna sejak kebelakangan ini terutama dalam kalangan golongan muda yang lebih gemar membeli-belah gaya butik berbanding pasar raya tradisional.

 

Selaras dengan perkembangan itu, Bonia mengembangkan perniagaan butik mereka.

 

Kumpulan itu bagaimanapun tidak terlalu bimbang terhadap perbelanjaan pengguna semasa yang lemah kerana kedudukannya yang strategik sebagai jenama kontemporari premium dan mampu milik.

 

"Oleh itu, Bonia komited untuk meningkatkan daya tarikan jenamanya melalui inovasi produk berterusan dan kempen pemasaran yang disasarkan, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran jenama," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'tambah' dengan nilai wajar (FV) RM1.98 sesaham. - DagangNews.com