Untung bersih Hap Seng Plantations merosot 57% kepada RM91.37 juta pada FY23, isytihar dividen 5.3 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hap Seng Plantations merosot 57% kepada RM91.37 juta pada FY23, isytihar dividen 5.3 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Hap Seng Plantations Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih RM91.37 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23), merosot 57% daripada RM210 juta tahun sebelumnya yang terkesan oleh penurunan purata harga jualan semua produk sawit.

 

Pendapatan syarikat perladangan itu turut menyusut 18% kepada RM667.8 juta pada tahun tersebut berbanding RM814.6 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pada FY23 menurun kepada 11.43 sen daripada 26.30 sen sebelumnya.

 

Ia mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 5.3 sen sesaham yang akan dibayar pada 27 Mac 2024.

 

Tahun kewangan Hap Seng Plantantions diakhiri dengan keuntungan bersih RM20.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), naik 9.6% berbanding RM18.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan bagi suku tersebut melonjak 21.6% kepada RM174.6 juta daripada RM143.6 juta sebelumnya.

 

Menurut kumpulan itu, pendapatannya didorong oleh jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi 32% pada suku semasa sebanyak 39,824 tan.

 

Sementara itu, jumlah jualan isirung sawit meningkat 10% pada 9,584 tan metrik seiring dengan pengeluarannya yang lebih tinggi. 

 

Bagaimanapun, purata harga jualan setiap tan bagi MSM dan isirung sawit bagi suku semasa masing-masing lebih rendah pada RM3,798 dan RM2,128 berbanding suku tahun sebelumnya sebanyak RM4,019 untuk MSM dan RM2,245 untuk isirung sawit.

 

Susulan penurunan pengeluaran sawit Malaysia kepada paras terendah sembilan bulan pada Januari 2024, Hap Seng menjangkakan trend ini berterusan dalam Februari 2024. yang akan mengurangkan lagi inventori minyak sawit daripada paras semasa.

 

Ia juga menekankan kelemahan permintaan untuk minyak sawit pada separuh pertama tahun ini berikutan pemulihan tanaman kacang soya di Amerika Selatan, serta inventori minyak makan yang tinggi di negara pengimport utama, India dan China.

 

“Harga minyak sawit adalah kini berdagang pada premium kepada minyak soya, minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi, dan dijangka berada di bawah tekanan apabila permintaan beralih kepada minyak makan saingan yang lebih murah dalam tempoh terdekat,” ulasnya.

 

Selain penggunaan minyak sawit di Malaysia dijangka kekal kukuh, kumpulan itu berkata mandat biodiesel B35 di Indonesia yang dilaksanakan sejak Ogos 2023 akan mengurangkan eksport minyak sawit Indonesia dan dijangka menyokong harga minyak sawit. - DagangNews.com