Untung bersih Ibraco pada FY23 tertinggi pernah dicatatkan dipacu segmen pembangunan hartanah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ibraco pada FY23 tertinggi pernah dicatatkan dipacu segmen pembangunan hartanah

Ibraco Berhad meraih untung bersih sebanyak RM45.35 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23), tertinggi yang pernah direkodkan syarikat pemaju hartanah itu./Gambar hiasan FB Ibraco
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Feb – Ibraco Berhad meraih untung bersih sebanyak RM45.35 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23), lonjakan 46% daripada RM31.09 juta setahun sebelumnya (FY22).

 

Untung bersih Ibraco pada suku keempat FY23 (4QFY23) pula berjumlah RM9.8 juta, lebih rendah berbanding RM14.02 juta pada 4QFY22, katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Dalam suku tahun tinjauan itu turut menyaksikan pendapatan pemaju hartanah terkemuka di Sarawak itu berkembang kepada RM105.4 juta berbanding RM82.59 juta tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Ibraco dalam kenyataan media berkata, pertumbuhan membanggakan itu disokong oleh peningkatan hasil sebanyak 44% untuk 12 bulan terkumpulnya pada tahun semasa yang dipacu oleh segmen pembangunan hartanah dan pembinaan Kumpulan.

 

Katanya, keputusan 12 bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) tertinggi sepanjang masa.

 

"Peningkatan ketara dalam hasil segmen pembangunan hartanah Kumpulan adalah terutamanya disebabkan oleh kadar jualan yang lebih tinggi dan kemajuan pengebilan pembangunan pangsapuri komersial NorthBank.

 

"Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama yang menyumbangkan 73% daripada hasil Kumpulan diikuti oleh segmen pembinaan pada 18% untuk tempoh dalam tinjauan" katanya.

 

Menurut Ibraco, prestasi yang membanggakan untuk FY23 menunjukkan kepakaran luas mereka sebagai pemaju perbandaran bersepadu yang terkemuka.

 

“Kami menjangkakan kadar jualan yang mampan untuk pelancaran kami yang akan datang, termasuk pelaksanaan projek rumah mampu milik di daerah Matang, Kuching dan pelbagai aktiviti pembangunan di daerah Muara Tuang, Kuching.

 

"Walaupun pembangunan NorthBank kekal sebagai tumpuan utama kami untuk lima tahun akan datang, kami juga sedang memulakan pembangunan perbandaran baharu di Kota Samarahan,” jelasnya.

 

Kata Kumpulan itu, di Semenanjung Malaysia pula, pelancaran pembangunan kediaman bertingkat baharu dijadualkan di Petaling Jaya pada suku pertama 2024.

 

"Kami menjangkakan kadar jualan yang kukuh seperti yang ditunjukkan oleh kejayaan projek kami sebelum ini, ContiNew Residence.

 

"Dalam segmen pembinaan, kami mencapai kemajuan yang stabil sehingga kini melalui tender aktif untuk projek kerajaan dan infrastruktur. Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan kedudukan buku pesanan Kumpulan dan menambah asas pendapatan keseluruhan," katanya.- DagangNews.com