Untung bersih Johor Plantations Group melonjak 111.5% kepada RM49.5 juta pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Johor Plantations Group melonjak 111.5% kepada RM49.5 juta pada 1QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - Untung bersih Johor Plantations Group Bhd melonjak 111.5% kepada RM49.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding RM23.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat 17% kepada RM294.9 juta berbanding RM252 juta pada tahun lalu.

 

Katanya, keuntungan itu didorong peningkatan 20.8% jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) daripada 52,090 tan pada 1QFY23 kepada 62,925 tan pada 1QFY24.

 

 

 

Selain itu, jumlah pengeluaran isirung sawit juga meningkat 7.6% kepada 15.873 tan kepada 14,749 tan serta peningkatan harga jualannya sebanyak 4.8% tetapi sebahagiannya diimbangi penurunan 1.9% dalam harga jualam MSM pada 1QFY24 berbanding 1QFY23 dan kos pembajaan yang lebih rendah pada suku berkenaan.

 

Pengarah Urusan Johor Plantations Group, Mohd Faris Adli Shukery berkata, pertumbuhan hasil dan keuntungan kumpulan adalah dipacu kejayaan mereka memaksimumkan kecekapan operasi, meningkatkan pendigitalan dan mekanisasi dalam proses pengeluaran serta pelaksaan kawalan kos.

 

Beliau berkata, tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian akan datang di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 Julai 2024 merupakan peristiwa penting kepada perkembangan kumpulan bagi memacu pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan.

 

"Melangkah ke hadapan, kami komited dengan misi kami, iaitu untuk menghasilkan keperluan yang mampan sambil mematuhi prinsip ketelusan dan kebolehkesanan yang ketat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Berikutan penyenaraian IPO, pelan hala tuju perniagaan kumpulan untuk pertumbuhan akan memberi fokus pada meningkatkan perniagaan teras sebagai pengeluar kelapa sawit bersepadu sepenuhnya.

 

Kumpulan akan memanfaatkan kedudukan kukuhnya dalam segmen huluan untuk berkembang ke dalam perniagaan hiliran – langkah strategik yang baru-baru ini dimulakan melalui usaha sama dengan syarikat berpangkalan di Jepun, iaitu, Fuji Oil Asia Pte Ltd.

 

Beliau berkata, kumpulan komited untuk menghasilkan produk mampan berkualiti tinggi bagi mengekalkan kehadiran dalam pasaran minyak sawit antarabangsa dan memacu impak mampan dalam sektor perniagaan tani tempatan.

 

Katanya, semua unit kumpulan itu diperakui oleh Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang diiktiraf di peringkat global dengan tumpuan penuh kepada kualiti serta kemampanan.

 

"Dengan IPO yang akan datang, kami bersedia untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam industri minyak sawit melalui amalan mampan dan usaha niaga yang inovatif. 

 

"Selain itu, sumbangan kami kepada negara dan ekonomi menyerlahkan peranan penting kami dalam menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan dan menyokong komuniti yang lebih luas," katanya.- DagangNews.com