KUALA LUMPUR 9 Ogos - Untung bersih Maxis Berhad melonjak kepada RM330 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) mengatasi RM322 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Prestasi cemerlang syarikat telekomunikasi itu didorong ketiadaan Cukai Makmur pada tahun ini, mengimbangi kos yang lebih tinggi yang dicatatkan pada 2022.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) adalah 1% lebih rendah pada RM1 bilion disebabkan kos pelunasan yang lebih tinggi.
Syarikat telekomunikasi itu melaporkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM2.47 bilion berbanding RM2.42 bilion.
Pada suku tersebut, Maxis melaburkan modal sebanyak RM166 juta untuk mengekalkan kualiti rangkaian dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Goh Seow Eng berkata, syarikat itu berada di landasan terbaik untuk perkembangan yang stabil meskipun berdepan landskap mencabar ketika ini.
"Dengan fokus kepada penumpuan mudah alih tetap dan cita-cita untuk mengembangkan bahagian pasaran, Maxis terus melihat pertumbuhan yang menggalakkan merentas perniagaan pengguna dan perusahaannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2023, keuntungan Maxis mencecah RM650 juta dengan hasil sebanyak RM5 bilion berbanding untung bersih RM611 juta dan hasil RM4.83 bilion dalam tempoh yang sama pada 2022.
Selaras dengan prestasi itu, kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak empat sen sesaham untuk pembayaran tahun setakat ini sebanyak lapan sen sesaham. - DagangNews.com