Untung bersih Notion Vtec bagi 3Q melonjak lebih 10 kali ganda kepada RM20.2 juta dipacu sumbangan segmen EMS, HDD | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Notion Vtec bagi 3Q melonjak lebih 10 kali ganda kepada RM20.2 juta dipacu sumbangan segmen EMS, HDD

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Untung bersih Notion Vtec Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2024 (3QFY24) meningkat lebih 10 kali ganda kepada RM20.2 juta berbanding RM1.8 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya dipacu sumbangan lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan pemacu cakera keras (HDD).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu juga meningkat kepada RM135.5 juta berbanding RM83.2 juta yang dicatatkan pada 3QFY23.

 

Katanya, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Jun 2024 (9MFY24) kumpulan itu kembali mencatatkan untung ebrsih sebanyak RM42.2 juta berbanding kerugian RM9.6 juta disokong peningkatan hasil sebanyak RM340.8 juta bagi tempoh berkenaan berbanding RM251.2 juta pada 9MFY23.

 

"Segmen HDD berkembang sebanyak 144% dari tahun ke tahun manakala segmen EMS berkembang 93% dan sektor automotif mencatatkan perkembangan kecil sebanyak 10%," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, selepas tiga suku berturut-turut mencatatkan pertumbuhan kukuh, mereka menjangkakan suku keempat akan berkembang pada kadar sederhana.

 

Katanya, tempoh pendapatan yang stabil itu meletakkan mereka dalam keadaan baik dan bersedia untuk pengembangan selanjutnya pada tahun kewangan akan datang.

 

"Lembaga pengarah dan pengurusan yakin bahawa FY24 akan menetapkan penanda aras baharu untuk hasil dan keuntungan, menandakan tahun cemerlang kumpulan," katanya. - DagangNews.com