Untung bersih Optimax Holdings meningkat 18% kepada RM3 juta bagi 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Optimax Holdings meningkat 18% kepada RM3 juta bagi 1QFY23

Gambar dari FB Optimax
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Optimax Holdings Berhad telah meningkat 18% kepada RM3 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM2.6 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku semasa yang berakhir 31 Mac 2023 ini telah meningkat 12% kepada RM26.1 juta daripada RM23.3 juta tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan ini merupakan bukti usaha gigih Optimax memacu kesedaran dalam kalangan orang awam tentang kepentingan penjagaan mata.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan menjelaskan bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan, termasuk pesakit untuk pembedahan refraktif dan pembedahan katarak.

 

Selain itu, klinik atau pusat satelit yang baharu ditubuhkan telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan juga.

 

Mengulas berkenaan peningkatan pendapatan mengikut geografi, kumpulan itu berkata wilayah Malaysia Timur menyerlah sebagai segmen berprestasi tinggi, mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 62% berbanding tahun lalu.

 

Selain itu, Wilayah Selatan dan Tengah masing-masing meningkat 15% dan 11%, mencerminkan kepercayaan dan keyakinan pelanggan untuk keperluan penjagaan mata mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Optimax, Sandy Tan berkata, “Pertumbuhan hasil dua angka tahun ke tahun dan peningkatan keuntungan menunjukkan keberkesanan strategi perniagaan kami dan dedikasi pasukan kami.

 

 

Sandy Tan
Sandy Tan

 

 

“Komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan mata yang luar biasa dan memanfaatkan teknik pembedahan lanjutan terus bergema dengan pesakit di semua wilayah.”

 

Saham Optimax ditutup hari ini pada 72.5 sen sesaham, menyusut 0.5 sen atau 0.7% dengan modal pasaran RM391.5 juta. -DagangNews.com