Untung bersih Press Metal menguncup 13.7% kepada RM1.2 bilion, isytihar dividen 1.75 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Press Metal menguncup 13.7% kepada RM1.2 bilion, isytihar dividen 1.75 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Press Metal Aluminium Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2023 (FY23), menguncup 13.7% daripada RM1.4 bilion berikutan penurunan harga aluminium.

 

Pendapatan pengeluar produk aluminium itu turut merosot 12% kepada RM13.8 bilion berbanding RM15.68 bilion tahun sebelumnya, dengan pendapatan sesaham (EPS) menyusut kepada 14.74 sen daripada 17.16 sen.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.75 sen sesaham yang akan dibayar pada 29 Mac 2024.

 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), keuntungan bersih Press Metal melonjak 22.9% kepada RM320 juta daripada RM260.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, dipacu harga bahan mentah yang lebih rendah serta sumbangan keuntungan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.

 

Bagaimanapun, penyusutan harga aluminium telah mengheret pendapatan kumpulan kepada RM3.53 bilion, 9.6% lebih rendah berbanding RM3.9 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Paul Koon berkata, kumpulan itu kekal optimis dengan berhati-hati terhadap permintaan aluminium untuk 2024, disokong oleh unjuran pertumbuhan perlahan dalam dinamik bekalan aluminium pada ketika ini.

 

 

 Tan Sri Paul Koon
Tan Sri Paul Koon

 

 

Menurut beliau, pemulihan ekonomi secara beransur-ansur dijangka bermula tahun ini memandangkan kenaikan kadar Amerika Syarikat mungkin dikekalkan dan pemotongan kadar bermula.

 

Tambahnya, kumpulan itu secara proaktif mengukuhkan kedudukan dengan mengembangkan produk nilai tambah dan kapasiti penyemperitan. 

 

“Landskap baharu ekoran peraturan perdagangan global baru-baru ini yang timbul ekoran ketegangan geopolitik dan perdagangan juga merupakan peluang bagi kami untuk menembusi pasaran baharu secara strategik.

 

“Lonjakan dalam pelaburan modal dalam sektor hijau dan peralihan ke arah logam input karbon rendah memberikan lebih banyak peluang kepada pengeluar aluminium yang mampan. 

 

“Trend ini dijangka meningkatkan permintaan dalam sektor yang sedang berkembang, mengurangkan kemerosotan dalam industri tradisional seperti pembinaan dan hartanah,” katanya.  - DagangNews.com