Untung bersih RHB Bank naik 4.8% kepada RM2.8 bilion pada FY23, isytihar dividen 25 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih RHB Bank naik 4.8% kepada RM2.8 bilion pada FY23, isytihar dividen 25 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Keuntungan bersih RHB Bank Bhd meningkat 4.8% kepada RM2.8 bilion pada tahun kewangan 2023 (FY23) berbanding RM2.68 bilion bagi tahun sebelumnya, didorong oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi dan kerugian kredit terjangka (ECL) yang lebih rendah.

 

Sementara itu, pendapatan berasaskan dana bersih kumpulan perbankan itu bernilai RM5.45 bilion pada tahun semas berikutan kos pendanaan yang lebih tinggi disokong pertumbuhan simpanan tetap sebanyak 14.3%. Ia mencapai margin faedah bersih (NIM) pada 1.82% bagi tahun tersebut.

 

Pendapatan berasaskan bukan dana kumpulan itu meningkat 30.3% kepada RM2.32 bilion disebabkan keuntungan bersih lebih tinggi daripada pertukaran mata wang asing (forex) dan derivatif, pendapatan dagangan dan pelaburan bersih, serta pendapatan yuran.

 

Selaras dengan prestasi itu, RHB Bank mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 25 sen sesaham, terdiri daripada pembayaran tunai sebanyak 15 sen sesaham dan bahagian boleh pilih di bawah pelan pelaburan semula dividen sebanyak 10 sen sesaham.

 

Dari segi kunci kira-kira, pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat 4.8% YoY kepada RM222.4 bilion, terutamanya disokong oleh pertumbuhan perbankan Singapura dan komuniti kumpulan.

 

Deposit pelanggan meningkat 7.9% kepada RM245.1 bilion, terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan dalam runcit serta deposit PKS dan Singapura masing-masing sebanyak 12.6% dan 36.9%. 

 

Komposisi akaun simpanan akaun semasa (CASA) RHB Bank pada 27.9% manakala nisbah perlindungan kecairan (LCR) kekal kukuh pada 177.4% setakat 31 Disember 2023.

 

Kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM585.9 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), merosot 24% daripada RM770.6 juta bagi tempoh tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 12% kepada RM4.4 bilion daripada RM3.92 bilion sebelumnya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bank, Mohd Rashid Mohamad berkata industri perbankan dijangka kekal berdaya tahan dengan kedudukan modal dan mudah tunai yang teguh, serta dasar monetari yang kondusif.

 

"Permintaan untuk kredit dijangka bertambah baik tahun ini, diterajui oleh permintaan kredit yang lebih kukuh daripada segmen perniagaan.

 

"Meskipun prestasi kewangan yang berdaya tahan untuk FY23, kami akan terus memperhalusi fokus dan pendekatan, serta menggandakan inovasi dan pengurusan kos bagi meningkatkan prestasi perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.  - DagangNews.com