Untung bersih Solarvest melonjak 104.7% pada 3QFY24 didorong peningkatan hasil | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Solarvest melonjak 104.7% pada 3QFY24 didorong peningkatan hasil

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Feb - Solarvest Holdings Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan bersih 104.7% pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), didorong pertumbuhan hasil yang stabil dan sumbangan daripada segmen perniagaan pembangunan projek tenaga solar.

 

Untung selepas cukai pakar tenaga bersih itu pada suku kewangan berakhir 31 Disember 2023 berjumlah RM10.7 juta, berbanding RM5.2 juta setahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Solarvest merekodkan perkembangan pendapatan 10.7% sebanyak RM112.4 juta pada 3QFY24, berbanding RM101.5 juta pada 3QFY23.

 

Bagi tempoh 9 bulan tahun kewangan 24 (9MFY24), hasil Kumpulan meningkat sebanyak RM143.38 juta atau 56.82% kepada RM395.69 juta daripada RM252.32 juta berbanding 9MFY22.


 
Keuntungan sebelum cukai pula meningkat sebanyak 70.84% atau RM14.25 juta berbanding 9MFY23 disumbangkan terutamanya oleh hasil yang lebih tinggi daripada kemajuan projek berbanding tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Solarvest dalam kenyataan media menjelaskan, lonjakan keuntungan bersih pada 3QFY24 didorong oleh trend harga panel solar yang menggalakkan dan peningkatan projek Komersial dan Perindustrian (C&I) serta pembangunan aset.

 

Kata syarikat itu, ia biasanya membawa margin keuntungan yang lebih tinggi.

 

"Segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kekal sebagai penyumbang hasil utama Kumpulan, menyumbang RM104.1 juta atau 92.6% daripada hasil Kumpulan," jelasnya.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, keputusan pada suku ini melanjutkan prestasi cemerlang untuk tiga suku berturut-turut dalam FY24.

 

Menurutnya, beliau yakin momentum positif ini akan berterusan pada dua suku akan datang, membuka jalan untuk FY24 yang kukuh dan luar biasa serta suku akan datang.

 

"Buku pesanan belum dibil EPCC kami kekal sihat pada RM242.0 juta secara konsisten diisi semula oleh segmen C&I dan bumbung kediaman. 

 

"Selain itu, kami mula melihat penambahan peluang projek CGPP EPCC ke dalam buku pesanan kami pada 4QFY24. Kami bersedia untuk memanfaatkan kapasiti CGPP kira-kira 443.4 MWp, memberikan kami potensi pendapatan lebih daripada RM1 bilion. 

 

"Ini adalah peluang baharu menarik yang timbul daripada pengumuman kerajaan Malaysia mengenai kuota tenaga boleh diperbaharui 2.8 gigawatt (GW),' ujarnya.- DagangNews.com