Untung bersih suku keempat IGB REIT merosot lebih 90% kepada RM18.77 juta ekoran langkah pelupusan syarikat usaha sama | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku keempat IGB REIT merosot lebih 90% kepada RM18.77 juta ekoran langkah pelupusan syarikat usaha sama

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Untung bersih IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) menjunam pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) sebanyak 91.97% kepada RM18.77 juta berbanding RM233.77 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Menurut laporan kewangan kumpulan itu di Bursa Malaysia, hal itu disebabkan pelupusan syarikat usaha sama pada suku tahun keempat pada 2021.

 

Keuntungan bersih pada tahun kewangan 2022 (FY22) menyusut 1.69% kepada RM159.11 juta daripada RM161.85 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan pada 4QFY22 meningkat 27% kepada RM383.2 juta daripada RM300.45 juta, mendorong peningkatan pendapatan FY22 sebanyak 38.8% kepada RM1.29 bilion berbanding RM930 juta pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan pendapatan 4QFY22 itu, menurutnya, didorong oleh segmen runcit, komersial dan hotel yang menjana pendapatan berikutan pemulihan ekonomi negara dan jualan runcit peruncit serta peningkatan kadar penghunian.

 

Mengulas prospek kumpulan itu untuk tahun ini, IGB REIT kekal berhati-hati dengan cabaran mendatang disebabkan peningkat kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan runcit yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan prestasi penyewa di pusat beli-belah dan juga prestasi kewangan pelaburan hartanah kumpulan untuk bahagian runcit.

 

Untuk segmen komersial pula, kumpulan akan terus komited menambah baik portfolio hartanah dan memupuk hubungan dengan penyewa untuk terus memacu pertumbuhan penghunian dan mengekalkan penyewa sedia ada.

 

Selain itu, segmen pembangunan hartanah juga bakal mencabar memandangkan kumpulan itu akan melupus hartanah siap sedia ada di samping merancang pelancaran projek.

 

IGB REIT optimis dengan segmen hotel yang menunjukkan pemulihan luar biasa pada tahun lalu, didorong peningkatan dalam pelancongan domestik dan antarabangsa.

 

“Pemulihan segmen hotel dijangka berterusan sehingga 2023 dengan peningkatan tambahan selepas China menarik balik sekatan perjalanannya pada 8 Januari 2023.

 

"Kumpulan juga bangga dengan penambahan satu lagi hotel dalam portfolionya pada tahun lalu dengan pembukaan St. Giles Southkey pada 31 Ogos 2022.

 

"Hotel Boulevard yang sedang menjalani pengubahsuaian disasarkan untuk dibuka semula untuk perniagaan pada Julai 2023,” katanya. -DagangNews.com