Untung bersih suku keempat Public Bank susut 5.73% kepada RM1.62 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku keempat Public Bank susut 5.73% kepada RM1.62 bilion

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Feb - Untung bersih Public Bank Bhd susut 5.73% kepada RM1.62 bilion dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) daripada RM1.71 bilion setahun sebelumnya.

 

Penyusutan ini antaranya didorong perbelanjaan operasi yang lebih tinggi serta pendapatan faedah bersih yang lebih rendah.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan Public Bank pada 4QFY23 menyaksikan peningkatan 8% kepada RM6.55 bilion daripada RM6.06 bilion. 

 

Pendapatan faedah bersih bank bagi suku tersebut adalah 6.41% lebih rendah kepada RM2.3 bilion manakala perbelanjaan operasi lain meningkat 5.6% kepada RM1.1 bilion dan elaun rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan meningkat 7.75% kepada RM96.99 juta.

 

Bagi tahun penuh berakhir 31 Disember 2023 (FY2023), keuntungan bersih Public Bank berkembang 8.7% kepada RM6.65 bilion daripada RM6.12 bilion, manakala hasil meningkat 18.91% kepada RM25.42 bilion daripada RM21.43 bilion.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, kumpulan itu akan menumpukan pada mengembangkan perniagaan runcit dan perbankan komersial terasnya.

 

Kata beliau, tahun 2024 bakal menjadi satu lagi tahun mencabar buat sektor perbankan negara.

 

Walau bagaimanapun katanya, memandangkan asas-asas bank tempatan yang kukuh dengan penampan modal dan mudah tunai yang sihat, ditambah pula dengan peruntukan awalan yang mencukupi dan nisbah perlindungan berhemat, sektor perbankan akan kekal berdaya tahan dalam mengharungi sebarang halangan.

 

"Sektor perbankan akan terus memainkan peranan utamanya dalam menyokong pembangunan negara dan memenuhi keperluan kewangan rakyat,” katanya dalam kenyataan media.

 

Public Bank mengisytiharkan dividen 10 sen sesaham bagi suku berakhir 31 Disember 2023, yang akan dibayar pada 22 Mac. 

 

Ini menjadikan jumlah dividen sesaham untuk FY23 kepada 19 sen — berjumlah RM3.69 bilion.

 

Sementara itu, Public Bank mencatat pertumbuhan pinjaman dan deposit yang sihat masing-masing sebanyak 5.9% dan 4.6% pada tahun tersebut.

 

“Prestasi keuntungan Kumpulan Public Bank untuk 2023 disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan berterusan pinjaman dan deposit, bersama dengan peningkatan dalam pendapatan bukan faedah dan elaun kerugian pinjaman yang lebih rendah," katanya.- DagangNews.com