Untung bersih teras Sunway Construction bagi 9MFY23 berada di bawah unjuran MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Untung bersih teras Sunway Construction bagi 9MFY23 berada di bawah unjuran MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Untung bersih teras Sunway Construction Group Berhad bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23)  berada di bawah unjuran MIDF Research dan konsensus, masing-masing pada 66.8% serta 67%.

 

Katanya, walaupun untung bersih teras kumpulan itu meningkat 6.5% kepada RM94.1 juta tetapi masih tidak mencapai unjuran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat kelewatan dalam projek pusat data bernilai RM1.7b di Sedenak Tech Park dengan kerja-kerja bernilai RM1.5 bilion masih tertunggak sejak pemberian projek pada Disember 2022 kerana terdapat kelewatan dalam pengeluaran notis kedua dan ketiga untuk diteruskan.

 

"Pengurusan memberi jaminan bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kemajuan daripada projek lain kumpulan itu mampu menampung kekurangan dalam hasil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih bagi 9MFY23 meningkat kepada RM95.84 juta daripada RM89.54 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM1.80 bilion daripada RM1.65 bilion sebelumnya.

 

Kumpulan itu juga telah melepasi sasaran nilai perolehan kontrak baharu tahun kewangan 2023 sebanyak RM2 bilion, memperoleh RM2.23 bilion dalam tempahan baharu bagi tempoh sembilan bulan 2023.

 

Segmen pratuang merekodkan peningkatan hasil sebanyak 65% kepada RM83 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada Hab Pembinaan Bersepadu Berteknologi Tinggi (ICPH) dan beberapa projek terbaharu.

 

MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan FY23 berdasarkan kemajuan pekerjaan pembinaannya yang sedia ada akan meningkat dan pertambahan beberapa projek menjelang akhir tahun, ditambah dengan sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen pratuangnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.09 sesaham.- DagangNews.com