Untung bersih Unisem merosot 79% kepada RM80 juta, isytihar dividen 2 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Unisem merosot 79% kepada RM80 juta, isytihar dividen 2 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Unisem (M) Bhd mencatat keuntungan bersih RM80.2 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23), merosot 79% daripada RM385 juta tahun sebelumnya, diheret penurunan jumlah jualan seiring dengan permintaan pasaran yang lebih perlahan.

 

Pendapatan sesaham (EPS) penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor itu menurun kepada 4.97 sen pada tahun semasa berbanding 23.89 sen sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan menurun 19% kepada RM1.44 bilion daripada RM1.78 bilion setahun lalu.

 

Unisem mengisytiharkan dividen 2 sen sesaham yang akan dibayar pada 5 April, menjadikan pembayaran dividen setahun penuh kepada 8 sen sesaham.

 

Kumpulan itu mengakhiri FY23 dengan keuntungan bersih RM28.4 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), jatuh 57.6% daripada RM67 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatannya pada suku tersebut menyusut 22.7% kepada RM350.8 juta berbanding RM453.7 juta sebelumnya.

 

Unisem menjangkakan permintaan untuk produk dan perkhidmatan kumpulan itu lemah pada 1QFY24 namun menjangkakan prestasinya akan memuaskan untuk sepanjang tahun kewangan.

 

Setakat pukul 3:31 petang ini, saham Unisem menyusut 3 sen atau 0.9% kepada RM3.29, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM5.3 bilion. - DagangNews.com