UOB Malaysia, The FinLab giat usaha transformasi digital perniagaan usahawan wanita | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia, The FinLab giat usaha transformasi digital perniagaan usahawan wanita

Ng Wei Wei
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - UOB Malaysia dan The FinLab mengumumkan edisi Program Jom Transform (JTP) yang keempat bertujuan untuk memperkasakan golongan wanita dalam mentransformasikan perniagaan mereka dengan menggiatkan usaha digitalisasi.

 

Program Jom Transform dibangun khas bagi menyediakan khidmat nasihat serta bantuan berkaitan usaha digitalisasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Program tahun ini yang bertemakan ‘JTP: Edisi Usahawan Wanita’ (atau JTP: Womenpreneur Edition), bermatlamat untuk mendukung para usahawan wanita menerusi pelbagai penyelesaian digital yang mampu memacu produktiviti, menjimatkan kos serta meningkatkan pendapatan. JTP ini akan dijalankan secara maya di The FinLab Online.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, usahawan wanita hanya mencakupi 20% daripada PKS Malaysia dan pihaknya melihat potensi dalam menyokong perniagaan berterajukan wanita yang mana ia boleh berkembang maju, khususnya dalam kegiatan e-dagang.

 

"Kerana ini pihak bank telah mewujudkan ekosistem melalui Program Jom Transform untuk menghubungkan jalinan antara angkatan usahawan wanita dan membuka pintu mereka kepada peluang-peluang tersedia. 

 

"Memandangkan keperluan perniagaan berkembang sejajar dengan realiti pasaran baharu, kami juga ingin menyediakan mereka dgn kaedah yang sesuai bagi meningkatkan kadar persaingan mereka di masa hadapan dalam dunia digital ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kohort JTP: Edisi Usahawan Wanita yang pertama akan menjalani kurikulum transformasi perniagaan selama tiga minggu melalui The FinLab Online bermula dari 28 Jun 2022. 

 

 

uob

 

 

Selain dibekalkan dengan ilmu, kaedah dan kemahiran yang relevan untuk mendigitalkan perniagaan mereka, para peserta juga akan dibimbing oleh kumpulan pakar dan mentor dalam bidang transformasi digital daripada UOB serta rakan-rakan kongsi ekosistem serantaunya. 

 

Peserta juga akan berpeluang mengakses bengkel dalam talian, tutorial video dan webinar di dalam bidang pemasaran digital, operasi perniagaan dan e-dagang. 

 

Untuk menggiatkan lagi usaha digitalisasi mereka, para peserta juga dapat menikmati langganan percuma bagi solusi pilihan JomX, termasuk sistem perakaunan awan, kecerdasan buatan dan analitik data-yang disediakan oleh rakan-rakan kongsi ekosistem JTP selama 13 bulan.

 

Menjelang pelancaran edisi JTP 2022, UOB Malaysia telah menganjurkan sebuah panel perbincangan pada 14 Jun 2022 bertajuk ‘Usahawan Wanita Melangkah Ke Hadapan’. 

 

Panel perbincangan tersebut telah menampilkan empat pemimpin wanita daripada industri pendidikan, fesyen, kesejahteraan dan kesihatan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam dunia profesional dan keusahawanan dengan para hadirin. - DagangNews.com